Peminat bola sepak tempatan berpeluang menyaksikan perlawanan peringkat kumpulan AFC Champions League (ACL) di depan mata apabila tiket untuk semua perlawanan itu mula dijual kepada umum hari ini.

Saingan ACL musim 2022  dijalankan secara venue berpusat bagi membendung penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat di beberapa negara. Malaysia yang diwakili oleh Johor Darul Ta’zim (JDT)  dipilih sebagai tuan rumah kumpulan I yang melibatkan juara J-League, Kawasaki Frontale, kelab Liga Super China, Guangzhou FC dan bekas juara ACL, Ulsan Hyundai.

Bagaimanapun, jualan tiket perlawanan yang melibatkan JDT terbuka kepada para penyokong Harimau Selatan sahaja. Namun, peminat masih boleh membeli tiket perlawanan yang melibatkan kelab gergasi Jepun dan Korea Selatan seperti Kawasaki Frontale serta Ulsan Hyundai.

Menurut kenyataan rasmi JST, para penyokong boleh dapatkan tiket tersebut secara dalam talian melalui laman web, Tickethotline bermula jam 2.00 petang ini. Setiap penyokong hanya boleh membeli dua tiket sahaja.

Berdasarkan SOP yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), hanya penyokong berusia 12 tahun ke atas yang telah lengkap divaksin dibenarkan masuk untuk menonton perlawanan manakala kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah perlu ditemani oleh ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap divaksin (sila tunjukkan sijil vaksinasi digital anda di pintu masuk).

Ini kali keempat JDT bertanding dalam saingan ACL dan skuad kendalian Benjamin Mora itu pernah mengejutkan Kashima Antlers (1-0) di Stadium Larkin dan menewaskan juara Piala FA Korea Selatan, Suwon Samsung Bluewings, 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim.

Dengan barisan pemain berkualiti ditambah pula dengan kehadiran muka baharu yang berpengalaman, JDT mampu memberikan saingan sengit dan seterusnya mencipta sejarah mara ke peringkat kalah mati.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Skuad Kawasaki Frontale Termasuk Chanathip Songkrasin Sudah Tiba Di Johor Bahru

Guangzhou FC Hantar Pemain Muda Bawah 22 Tahun Ke Saingan ACL 2022 Di Johor Bahru

Shanghai Port Tarik Diri Daripada ACL 2022, Hanya Tiga Pasukan Tempat Kedua Terbaik Mara Ke Pusingan 16