Tumpuan peminat bola sepak tempatan terhadap perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2022 yang diadakan pada hari sabtu ini dijangka tidak terjejas walaupun saingan Piala Dunia 2022 masih berlangsung di Qatar.

Malah, tiket perlawanan di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC (SFC) itu sudah mula dijual sejak semalam serta mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan penyokong setia.

Difahamkan sebanyak 78,000 tiket perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 telah diperuntukkan kepada setiap kelab untuk dijual kepada penyokong masing-masing.

Harga tiket bagi perlawanan tersebut juga masih kekal seperti perlawanan akhir Piala FA tempoh hari iaitu dengan General Admission berharga RM50 dan RM70, Premium Grandstand RM150 serta VIP Grandstand RM200.

Badan pengendali liga, Malaysia Football League (MFL) membuat keputusan untuk mengekalkan harga tiket perlawanan akhir TM Piala Malaysia dengan mengambil kira kejayaan penganjuran final Piala FA 2022 di mana sambutan yang ditunjukkan oleh penyokong yang hadir ke stadium cukup hebat.

“Saya percaya dengan penetapan empat ‘tier’ harga tiket ini akan memberi lebih pilihan buat penyokong kedua-dua pasukan finalis yang ingin hadir ke stadium bagi menyaksikan aksi kemuncak TM Piala Malaysia kali ini.

“Untuk proses jualan tiket final ini pula akan ditentukan oleh pasukan finalis seperti yang dilakukan sebelum ini kerana dengan cara ini, tiket yang telah diperuntukkan kepada setiap kelab dapat dibeli oleh penyokong mereka secara sama rata dan adil,” kata CEO MFL, Stuart Ramalingam.

Para penyokong Selangor boleh mendapatkan tiket tersebut menerusi laman web TicketHotline.com.my atau terus ke pautan ini : https://bit.ly/PMFinalTickets

Setiap penyokong Selangor boleh membeli maksimum 4 tiket sahaja.

Manakala JDT mengehadkan kepada 2 keping tiket untuk seorang penyokong. Para peminat Harimau Selatan boleh membeli tiket menerusi http://www.tickets.jdtfc.com.my.

Mereka juga boleh membeli tiket-tiket berharga RM50 di semua Pejabat Daerah di negeri Johor dan tiket tersebut adalah terhad.

Perlawanan dianggap sangat penting bagi pasukan Selangor kerana juara Piala Malaysia musim ini akan mendapat tiket beraksi di Piala AFC tahun depan.