Skuad B-22 tahun negara menerima tamparan hebat apabila tiga pemain dari Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa digugurkan ekoran mengalami kecederaan sebelum berlepas ke Mongolia bagi menghadapi saingan kelayakan AFC B-23 Tahun.

Menurut perkongsian wartawan Astro Arena, Syakirah Zulkifly, tiga pemain yang dimaksud adalah pemain sayap Alif Mutalib dan Aysar Hadi serta pemain pertahanan, Firdaus Ramli.

Alif Mutalib menerusi laman Instagram Story beliau meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat beraksi bersama skuad B-22 tahun dan mengucapkan selamat maju jaya kepada rakan sepasukan yang lain.

Pada masa yang sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada staf kejurulatihan serta rakan sepasukan yang telah membantunya dalam sesi latihan Fasa 1 dan 2 yang telah dijalani sebelum ini.

Ketiadaan tiga pemain JDT ini dilihat memberi sedikit kesan terhadap skuad kendalian Brad Maloney kerana ketiga-tiga pemain menampilkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Premier musim ini.

Alif dan Aysar menjadi pemain penting di bahagian serangan manakala Firdaus Ramli pula menjadi watak penting pasukan bimbingan Rafa Gil itu di bahagian pertahanan.

Sehingga saat ini, masih belum diketahui sama ada Brad Maloney akan memanggil pemain gantian bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan ataupun menyenaraikan pemain lain yang telah dipanggil dalam kem latihan pusat bagi dimasukkan dalam senarai akhir yang akan terbang ke Mongolia pada 20 Oktober ini.

Pasukan negara akan beraksi di Ulaanbaatar, Mongolia bagi menghadapi saingan kelayakan AFC B-23 tahun dari 25 hingga 31 Oktober ini. Malaysia diundi dalam kumpulan J bersama Mongolia dan dua lagi pasukan dari Asia Tenggara iaitu Laos dan Thailand.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad B-22 tahun negara di sini:

Brad Maloney Percaya Harith Mampu Beri Kelebihan Kepada Pasukan Negara

Empat Pemain Muda Mungkin Dipanggil Beraksi Di Piala AFF Suzuki

Harith Haiqal Dipanggil Sertai Sesi Latihan Skuad B-22 Tahun