Menjelang kempen saingan peringkat kelayakkan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan bermula pada September ini, ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe berhasrat memanggil tiga pemain bagi memantapkan pasukan beliau.

Tiga pemain yang dimaksudkan ialah ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar dan dua pemain Perak iaitu Brendan Gan serta J.Partiban dimana ketiga-tiga pemain ini menampilkan aksi cemerlang pada pentas perlawanan akhir Piala FA 2019 minggu lalu.

Tiga pemain itu dijangka diuji oleh Cheng Hoe dalam satu aksi persahabatan dengan menentang Jordan sebelum berdepan Indonesia.

Baddrol Bakhtiar
Sumber Gambar: MFL

“Bagi saya, Baddrol Bakhtiar bermain dengan begitu baik. Saya bukan hanya bagi peluang kepada dia sahaja. Semua orang saya akan bagi peluang.

“Setiap pemain yang berpotensi, tidak kira pemain muda atau senior, semua akan diberi peluang jika bersesuaian dengan pasukan,” katanya menurut laporan Stadium Astro.

Kali terakhir Baddrol Bakhtiar menyarung jersi skuad kebangsaan ialah pada 2017 manakala Brendan Gan pula pada 2016 lalu. Jika kedua-dua pemain termasuk J.Partiban dipanggil, maka Tan Cheng Hoe akan mempunyai lebih ramai pilihan pemain dan perkara itu sudah pasti bakal memberikan kelebihan untuk pasukan negara.

Malaysia akan membuka tirai kempen kelayakan menentang Indonesia pada 5 September mendatang dimana perlawanan tersebut mungkin dilangsungkan di gelanggang keramat Indonesia, Gelora Bung Karno.