Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengesahkan bola sepak Selangor akan mengalami penstrukturan dan penyusunan semula pada musim hadapan dimana tiga pasukan iaitu Selangor, PKNS FC dan Selangor United berkemungkinan besar bakal digabungkan.

Menurut YB Amirudin, penyelarasan tidak akan membabitkan pasukan utama sahaja malah peringkat akar umbi turut terlibat dimana beberapa formula akan diterokai termasuk formula yang sudah digunakan oleh dua pasukan iaitu Johor Darul Ta’zim dan Terengganu FC.

Selangor
Sumber Gambar: FA Selangor

“Saya lihat kalau kita tidak berjaya selaraskan pasukan ini, kita mungkin sedikit sebanyak membazirkan peruntukan dan kos sesama kita.

“Sebagai contoh, kerajaan negeri menyediakan RM12 juta untuk Selangor pada tahun ini sementara PKNS FC memperuntukkan RM12 juta. Kalau kita dapat gabungkan dana ini dengan tambahan daripada anak syarikat, kita sebenarnya ada peruntukan yang setanding dengan pasukan teratas seperti JDT dan Pahang.

“Kita akan muktamadkan pelarasan ini pada Julai nanti. Kita akan memiliki satu ‘blue print’ bola sepak Selangor yang akan merangkumi setiap sudut,” kata YB Amirudin menurut laporan Berita Harian.

PKNS FC
Sumber Gambar: Goal.com

Tambah YB Amirudin, berkemungkinan besar PKNS FC dan Selangor United menjadi kelab pembangunan manakala Selangor akan menjadi kelab utama.

“Mungkin PKNS FC atau Selangor United akan menjadi kelab pembangunan. Ada pelbagai faktor dipertimbangkan antaranya kekuatan pasukan, tarikan penyokong, sejarah dan program pembangunan. Kita akan lihat secara keseluruhan dan perlu dibincangkan dengan ketiga tiga pihak,,” tambahnya.