Minggu lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon akan terbang ke Thailand untuk menghadapi Kejohanan Persahabatan 4 Penjuru yang dikenali sebagai King’s Cup pada bulan September nanti.

Selain tuan rumah, Thailand dan Malaysia, dua lagi negara yang berada di ranking FIFA lebih tinggi akan menyertai Kejohanan itu. Menurut laporan media Vietnam, Kyrgyzstan yang berada di ranking 95 dunia turut mengesahkan penyertaan mereka.

Pasukan dari Asia Tengah itu dilaporkan telah menerima jemputan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) untuk menyertai King’s Cup 2022 yang dijadualkan berlangsung pada 22 hinga 25 September di wilayah Chiang Mai.

Kyrgyzstan menjadi pilihan kerana mereka juga turut layak ke Piala Asia 2023 secara merit. FAT juga masih menanti pengesahan daripada pasukan keempat dari benua Amerika Selatan, Amerika Utara atau Afrika.

Sebelum ini, Bolivia yang berada di ranking 81 dunia dikhabarkan bakal menjadi pasukan yang akan mengambil bahagian namun masih belum ada sebarang pengesahan rasmi daripada badan induk bola sepak negara itu.

Presiden FAT,  Somyot Phumphanmuang mengumumkan Thailand tidak akan menurunkan pasukan bawah 23 tahun untuk King’s Cup sebaliknya bakal menyenaraikan barisan terkuat dibawah kendalian Mano Polking sebagai persiapan menghadapi Piala Asia 2023.

Saingan King’s Cup dijalankan dalam format kalah mati. Pasukan yang menang akan mara ke final manakala pasukan yang kalah berentap untuk penentuan tempat ketiga. Setiap keputusan perlawanan memberi pulangan mata ranking FIFA.

Berdasarkan rekod, Malaysia pernah muncul juara dalam empat edisi King’s Cup iaitu pada tahun 1972, 1976, 1977 dan 1978.

Kejohanan tersebut dijadikan medan terbaik untuk menguji taktikal Kim Pan-gon berdepan lawan yang lebih kuat dan juga sebagai persiapan menghadapi Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang dijangka berlangsung pada 21 Disember hingga 17 Januari 2023.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

FAM Umum Senarai 28 Pemain Muda Sertai Kem Latihan Pusat Skuad Malaysia B-16

Kim Dong-jin Bakal Jurulatih Baharu Skuad Malaysia B-23?

Christophe Gamel Sedia Isi Jawatan Ketua Jurulatih Skuad B-23 Malaysia