Baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilaporkan berminat untuk menjadi tuan rumah aksi kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang dijalankan secara karnival pada bulan Jun nanti.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kini membenarkan penganjuran secara karnival sebagai langkah untuk membendung penularan wabak pandemik COVID-19 yang semakin meningkat di beberapa negara.

Antara sebab lain perlawanan itu perlu dijalankan secara karnival ialah beberapa pasukan berdepan kesukaran untuk keluar negara disebabkan sekatan perjalanan yang dikenakan oleh kerajaan masing-masing.

Namun begitu, Setiausaha Agung AFC, Datul Windsor Paul John menjelaskan terdapat 3 kriteria utama yang perlu dipatuhi oleh pihak penganjur jika mahu menjadi tuan rumah semua perlawanan itu.

“Kriteria pertama melibatkan sistem penerbangan yang baik termasuk dengan pesawat bagi memudahkan kedatangan pasukan bertanding kerana aksi kelayakan ini tidak boleh diadakan tanpa kemudahan ini.

“Kriteria kedua, pihak penganjur perlu memiliki infrastruktur kesihatan yang baik khususnya pada ketika pandemik Covid-19 ketika ini supaya segala protokol mengenai (Covid-19) dapat dilaksanakan.

“Kriteria ketiga, tuan rumah perlu berikan jaminan bahawa pemain dan pegawai tak perlu jalani kuarantin kerana kesemua mereka akan melalui proses ketat iaitu hanya tinggal di hotel, ke padang latihan dan ke venue perlawanan,” katanya dipetik dalam Sinar Harian.

Undang-Undang

Selain Malaysia, Thailand turut menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah. Mereka mencadangkan agar semua perlawanan diadakan di Stadium I-Mobile, Buriram yang terletak 3 jam dari Bangkok secara ‘Bubble Quarantine’.

Malah, lokasi tersebut juga memenuhi kriteria pertama iaitu sistem penerbangan yang baik kerana terdapat sebuah lapangan terbang di Buriram.

Selain itu, Stadium I-Mobile pernah menganjurkan perlawanan antarabangsa apabila dipilih sebagai tuan rumah perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 di antara Malaysia menentang Korea Utara pada bulan November 2017 sekaligus memenuhi kriteria yang diperlukan oleh AFC.

Bagaimanapun, Windsor mendedahkan setakat ini AFC belum menerima permohonan rasmi secara bertulis oleh mana-mana negara yang berminat untuk menganjurkan aksi kelayakan secara karnival itu.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

Pemain Harimau Malaya Bakal Diberikan Suntikan Vaksin COVID-19 Sebelum Ke Luar Negara

Kem Latihan Pusat Harimau Malaya Pada Bulan Januari Dibatalkan

Hasrat Kobe Chong Beraksi Bersama Harimau Malaya Tertangguh

Ciri-Ciri Menarik Jersi Terbaru Skuad Harimau Malaya

Kontrak Tan Cheng Hoe Dilanjutkan 2 Tahun Lagi, Terus ‘Pegang’ Harimau Malaya Sehingga Hujung 2022