Tindakan seorang penyokong setia Terengganu FC (TFC) membayar semula duit tiket bagi 3 perlawanan yang melibatkan skuad penyu pada musim 2010/2011 telah menarik perhatian peminat bola sepak tempatan hari ini.

Menurut kenyataan di laman sosial TFC, penyokong tersebut telah hadir di pejabat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk memohon maaf kerana beliau telah memasuki Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah secara haram kerana tidak mahu terlepas peluang menyaksikan perlawanan Liga Malaysia ketika itu.

“Pagi ini salah seorang penyokong pasukan TFC hadir ke pejabat pengurusan menyatakan beliau ingin membayar duit tiket bagi 3 perlawanan yang melibatkan pasukan Terengganu pada tahun 2010/2011.

“Beliau menyatakan pada ketika itu terpaksa memanjat pagar stadium secara haram dan berjaya masuk kedalam dan menonton perlawanan pasukan Terengganu,” petikan daripada kenyataan tersebut.

Pada ketika itu, penyokong tersebut masih muda dan tidak mampu berfikir dengan baik sehingga beliau menyedari betapa pentingnya sumbangan penyokong untuk menampung kantung kewangan pasukan.

“Beliau menyatakan pada ketika itu beliau masih muda dan tidak berfikir panjang dan pemikiran beliau masih belum terbuka tentang betapa besarnya sumbangan penyokong dalam membantu kewangan dan kestabilan pasukan yang mereka sokong walaupun hanya dengan membeli sekeping tiket.

“Beliau merasa bersalah dan ingin mengambil tanggungjawab untuk memulangkan apa yang sepatutnya beliau serahkan sekian lama,” petikan daripada kenyataan TFC.

TFC juga turut memuji niat baik penyokong tersebut dan menyifatkan beliau adalah seorang yang jujur bukan sahaja sebagai seorang penyokong, tetapi sebagai seorang manusia.

Baca juga artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah. 

FAS Soccer Schools Terima Keahlian Emas Piagam SupaRimau FAM

Reaksi: Rekaan Baharu Jersi Kelantan 2020 Persis ‘Jersi Lumba Basikal’ Jadi Bebelan Majoriti ‘Sek Kito’