Semalam, peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan berita perpindahan penyerang skuad kebangsaan, Safawi Rasid ke kelab Portugal, Portimonense S.C.

Pengarah Sukan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Martin Prest turut mengesahkan perkembangan itu melalui satu kenyataan rasmi di laman sosial Johor Southern Tigers.

Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai perpindahan itu tidak dapat didedahkan kerana mereka masih berada diperingkat rundingan akhir.

“Kami telah menerima tawaran untuk Safawi Rasid dari Portimonense SC, kelab Liga Premier Portugal. Kami percaya tawaran itu baik untuk JDT dan Safawi, dan dengan itu kami bersedia melepaskan Safawi untuk meneruskan kariernya di Eropah.

“Kami tidak dapat mendedahkan perincian tawaran kerana rundingan akhir masih dijalankan,” katanya.

Lebih mengejutkan, tidak sampai 24 jam pengumuman rasmi daripada JDT namun sudah terdapat akaun media sosial kelab penyokong Portimonense S.C. cawangan Malaysia yang ditubuhkan untuk memberikan sokongan padu kepada Safawi Rasid.

Tinjauan di laman instagram portimonense_malaysiafan mendapati akaun tersebut kini sudah mempunyai 479 followers dan bakal menjadi rujukan peminat tempatan untuk mengikuti perkembangan pemain tersebut.

Manakala akaun laman facebook Portimonense S.C. Malaysia hanya mempunyai 2 likes kerana baru diciptakan pada hari ini.

Walaupun Safawi belum sah menyertai Portimonense secara rasmi, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan kelab akan melepaskan pemain itu ke Portugal selepas tamat saingan Liga Malaysia musim ini.

Jika segalanya berjalan lancar, Safawi akan mengikut jejak langkah penyerang skuad Malaysia B-19, Luqman Hakim yang kini berada di Eropah apabila beliau disahkan menyarung jersi kelab Belgium, KV Kortrijk.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Safawi Rasid melalui pautan dibawah.

“Kelab ‘Monitor’ Pemain Kami Dan Offer, Bukan Guna Atau Suruh Kroni Tun Ambil. Tolong Jangan Samakan.” – TMJ

Gol Safawi Ke Gawang Shandong Tersenarai Bagi Anugerah “AFC Goal of the Decade”

Matthew Davies Pilih Safawi Sebagai Pemain Tempatan Terbaik Yang Pernah Dihadapi