Stadium Kanjuruhan di Malang Indonesia akan dirobohkan selepas kejadian yang meragut nyawa kira-kira 133 orang penyokong bola sepak.

Tragedi menyayat hati itu merupakan peristiwa hitam dalam sejarah bola sepak Indonesia.

Dan ianya dianggap sebagai salah satu nahas terbesar melibatkan penyokong bola sepak.

Presiden Indonesia, Joko Widodo mengumumkan bahawa Stadium Kanjuruhan akan dirobohkan dan dibina semula dengan stadium baharu di tapak yang sama.

Jokowi mengesahkan perkara itu selepas pertemuan dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino. Ini selepas stadium tersebut disahkan tidak menepati piawaian FIFA.

Jokowi berkata: “Untuk Stadium Kanjuruhan di Malang, kita akan merobohkan dan membina semula mengikut piawaian FIFA.”

Jokowi menambah: “Stadium baharu yang bakal dibina itu akan dilengkapi kemudahan bersesuaian yang boleh menjamin keselamatan pemain dan penyokong.”

Dalam pertemuan yang sama, Infantino berjanji bahawa, FIFA akan mebantu dalam merevolusikan dan mengubah bola sepak Indonesia.

FIFA turut menyatakan simpatinya di atas tragedi yang menimpa Indonesia dalam tragedi Kanjuruhan.

Antara sebab kenapa kerajaan Indonesia memutuskan agar Kanjuruhan dirobohkan adalah kerana mengambil kira faktor keselamatan dan keadaan stadium yang sudah usang.

Stadium yang ada pada hari ini tidak menepati spesifikasi keselamatan yang baik. Di mana, di setiap pintu masuk hanya boleh memuatkan 2 orang pada satu masa yang sama.

Jadi, apabila berlaku kecemasan, amat sukar untuk penyokong mahu keluar.

Bukan itu sahaja, pakar turut menambah, infrastruktur stadium juga agak goyah.

Ini ditambah dengan kelemahan pengurusan stadium membuatkan stadium yang dibina pada 90-an itu usang.