Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pertandingan peringkat bawah umur 21 tahun iaitu Piala Presiden dan Piala Belia 2021 telah dibatalkan dengan serta-merta.

Ia selepas mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19, hal-hal pengoperasian serta keselamatan kesemua pemain, pegawai, petugas perlawanan dan individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam penganjuran kedua-dua pertandingan ini.

Menurut kenyataan rasmi, keputusan ini juga diambil selaras dengan status penganjuran kedua-dua pertandingan tersebut yang sehingga kini masih belum mendapat ‘lampu hijau’ daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Biarpun kadar kes baharu COVID-19 di Lembah Klang telah menunjukkan penurunan, kes-kes baharu di negeri lain dilihat meningkat dan masih tidak menentu, sekali gus dijangka tempoh masa yang lebih lama diperlukan untuk melihat jumlah kes berada pada tahap yang rendah untuk dibolehkan kedua-dua pertandingan ini berlangsung.

“Selain itu, faktor para pemain Piala Presiden dan Piala Belia 2021 yang sudah melengkapkan dua dos vaksin masing-masing juga pada tahap yang agak rendah ketika ini yang mana ia akan memberi risiko bagi keselamatan dan kesihatan para pemain jika kedua-dua pertandingan ini tetap mahu dilangsungkan pada tahun ini,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Sebagai badan induk bola sepak negara, FAM bukan saja bertanggungjawab untuk pembangunan bola sepak dan penganjuran pertandingan tetapi perlu juga mengambil kira beberapa perkara lain terutama soal keselamatan dan kesihatan pemain yang terlibat dalam lingkungan pemain muda di bawah usia 22 tahun dan usia 19 tahun.

Di samping itu juga, beberapa perkara penting di dalam penyediaan SOP dilihat masih belum cukup untuk memberi jaminan pada tahap tertinggi dalam segala aspek penganjuran telah mendorong untuk FAM mengambil keputusan membatalkan kedua-kedua pertandingan ini yang mana ia satu keputusan yang berat tetapi perlu bagi mengelak perkara-perkara yang tidak diingini berlaku terutamanya dari segi keselamatan dan kesihatan pemain.

“FAM juga berasakan keputusan ini adalah yang terbaik pada ketika ini dan pada masa yang sama ia memberi lebih ruang kepada pasukan-pasukan untuk membuat persediaan bagi menghadapi pertandingan yang sama untuk tahun 2022 yang dijangka bermula seawal Februari depan,” jelas Stuart.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Merchandise Rasmi Harimau Malaya Kini Boleh Didapati Di Al-Ikhsan Sports

Kalah Besar Berdepan UiTM, Kurniawan ‘Direhatkan’ Berkuatkuasa Serta-Merta

Rozaimi Abdul Rahman Kini Bukan Lagi Pemain Kedah

Kisah Anwar Ridhwan, Dari Pemain Bola Sepak Kepada Jurutera Kanan Syarikat Gergasi Minyak Negara

MFL: Naib Juara Liga Super Dan Juara TM Piala Malaysia Akan Terima Slot Ke Kejohanan AFC Cup 2022