Dua hari lepas, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan juara Liga Super 7 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak dibenarkan berlepas ke Doha, Qatar bagi menghadapi saingan AFC Champions League 2020 yang akan bermula pada 18 November ini.

Ismail Sabri menjelaskan kerajaan tidak membenarkan pergerakan keluar masuk di pintu sempadan negara sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

Polisi berkenaan sudah dimaklumkan kepada semua pihak dan turut tertakluk kepada pasukan bola sepak di negara ini.

“Polisi kita masih sama. Pintu sempadan kita masih ditutup. Maknanya, warga asing tidak dibenarkan masuk, dan rakyat kita tidak dibenarkan keluar.

“Polisi ini meliputi semua termasuk pasukan bola, iaitu tidak membenarkan pergerakan yang ramai seperti ini ke luar negara. Dan kita tidak tahu SOP yang ada di negara tersebut,” katanya.

Menurut laporan daripada New Straits Times, disebabkan tidak dapat hadir di Doha, JDT kemungkinan bakal berdepan hukuman daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berdasarkan artikel 6.2.5.3  dalam peraturan pertandingan.

Peraturan tersebut menyatakan pasukan yang telah menarik diri di peringkat kumpulan bakal dikenakan hukuman denda sebanyak US$50,000 (RM207,000) dan digantung 2 tahun daripada memohon lesen kelab AFC.

Ia juga bermakna JDT tidak boleh menyertai pertandingan anjuran AFC selama dua tahun.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menjelaskan pihaknya akan bertemu AFC untuk berbincang mengenai isu tersebut.

FAM
Sumber Gambar: FAM

“Mudah-mudahan, kita dapat menyelesaikan sesuatu kerana penarikan diri akan memberi kesan kepada kita dalam jangka masa panjang dari segi kedudukan mata dan slot untuk pertandingan peringkat Asia.

“Mengenai kemungkinan sebarang sekatan, AFC harus menjawab. Namun, kami sedang melakukan yang terbaik untuk berkomunikasi dengan pihak berwajib mengenai apa yang boleh dan mungkin berlaku.

“Saya harap hukuman itu tidak akan terjadi (larangan dua tahun dan denda AS $ 50,000) kerana JDT telah membantu negara ini memperoleh mata dan slot tambahan menerusi pencapaian mereka di peringkat Asia,” kata Stuart dipetik dalam NST.

JDT sempat menghadapi dua perlawanan di peringkat kumpulan menentang Vissel Kobe pada 12 Februari lalu kemudian mencatat kemenangan 2-1 ke atas Suwon Bluewing pada 3 Mac 2020 di Stadium Sultan Ibrahim.

Sudah tentu peminat berharap hukuman JDT dapat dikurangkan kerana mereka bukan menarik diri secara sengaja tetapi ia adalah larangan daripada pihak kerajaan sendiri.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak asia melalui pautan dibawah. 

Jawatankuasa Pertandingan AFC Luluskan Tarikh Baru Kelayakan 2 Piala Dunia 2022, Semua Perlawanan Tamat Pada 15 Jun 2021

FAS Dan Nike Lancar Jersi Baharu Skuad Kebangsaan Singapura

Tonton Video Tembual Hadi Fayyadh Dalam Bahasa Jepun Yang Amat Membanggakan