Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League (MFL), Dato Ab’ Ghani Hassan dalam satu kenyataan rasmi semalam menegaskan kesemua pasukan Liga Malaysia tidak dibenarkan mengadakan perlawanan persahabatan bermula 15 sehingga 28 Julai 2020.

Namun, pasukan dari CIMB Liga Super dan Liga Premier hanya dibenarkan mengadakan perlawanan persahabatan pada 2 Ogos 2020 sebaik tamat tempoh bertenang bermula 29 Julai dan tamat pada 1 Ogos 2020.

“Tempoh ini adalah bagi penilaian dan pemantauan simptom COVID-19 bagi memastikan tahap kesihatan semua pegawai dan pemain masih baik setelah 14 hari tempoh Latihan Berkontak Fizikal dibenarkan di mana latihan pasukan masih dibenarkan sepanjang tempoh ini,” katanya.

Bagaimanapun, badan pengendali liga itu mengalakkan perlawanan persahabatan diadakan di antara pasukan Liga Super menentang Liga Premier sahaja.

“Berkenaan perlawanan persahabatan, MFL mengalakkan pasukan mengadakan perlawanan di antara wakil Liga Malaysia iaitu CIMB Liga Super dan Liga Premier sahaja kerana pasukan ini telah menjalani Ujian Calitan (Swab Test) dan memahami SOP yang telah ditetapkan.

“Perlawanan hanya dibenar diadakan di dalam stadium atau venue perlawanan sahaja dan stadium tersebut hendaklah didaftarkan di MITI. Stadium-stadium tersebut hendaklah menjalani proses nyahkuman dan disinfeksi sebelum perlawanan diadakan.

“Perlawanan tersebut hendaklah dimainkan tanpa penonton, hanya pegawai dan pemain pasukan yang berdaftar dan telah menjalani Ujian Calitan (Swab Test) sahaja dibenar berada di stadium.

“Nasihat MFL supaya pemain, pegawai serta semua yang terlibat menjaga kepentingan kesihatan serta akur kepada arahan SOP bagi memastikan bukan sahaja mahu memutuskan rangkaian tetapi bebas daripada pandemik COVID-19,” tambahnya.

Saingan Liga Malaysia 2020 akan kembali bersambung pada 26 Ogos depan selepas ditangguhkan sejak 16 Mac lalu disebabkan pandemik COVID-19.

Teruskan membaca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Kashima Antlers Buka Tempahan Pakej ‘Matchday’ Paling Mahal, Jemput Penyokong Ke Stadium Naik Helikopter

Qatar Dipilih Sebagai Tuan Rumah Perlawanan AFC Champions League Zon Asia Barat

Ini Reaksi Netizen Indonesia Yang ‘Kaget’ Melihat Susuk Fizikal Pemain Skuad Malaysia B19 Yang ‘Gede Gede’