Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Md Dali Wahid mengesahkan khidmat pengadil import tidak akan digunakan untuk perlawanan akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung pada bulan November depan.

Sebelum ini, peminat bola sepak tempatan memberi pujian kepada usaha FAM dan badan pentadbir liga, Malaysian Football League (MFL) meningkatkan mutu pengadilan dengan membawa masuk pengadil dari Jepun untuk mengendalikan perlawanan akhir Piala FA 2019 di antara Perak menentang Kedah bulan lalu.

Bagaimanapun, perkara yang sama tidak dapat dilakukan pada perlawanan akhir Piala Malaysia kerana FAM ingin memberi peluang kepada pengadil tempatan yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

“Pengadil untuk perlawanan akhir Piala Malaysia adalah pengadil tempatan. Kita tetap akan kekalkan pengadil dari Malaysia dan mereka akan dipilih mengikut prestasi berdasarkan markah dalam laporan penilaian perlawanan.

“Untuk final kita akan perhalusi prestasi pengadil pada aksi separuh akhir nanti… sama seperti kita menilai mereka (pengadil) dalam empat perlawanan suku akhir sebelum memilih siapa akan dipilih untuk aksi separuh akhir.

“Hanya pengadil berkualiti dan mempunyai prestasi terbaik akan diletakkan untuk mengendalikan perlawanan,” katanya dalam Bernama.

71254525_2412991445464272_3257766439574044672_o

FOTO: FAM

Sementara itu, Dali turut mengesahkan seramai lima pengadil telah digantung tugas selama dua minggu, 16 orang diberi amaran dan tiga lagi sedang menunggu hukuman lebih berat kerana kesalahan yang dilakukan ketika mengadili perlawanan dalam Liga Malaysia.

“FAM telah bertindak terhadap aduan tersebut dengan memberi amaran serta mengenakan hukuman terhadap pengadil terlibat dengan tujuan memberi pengajaran. Ia sebagai membuktikan bahawa kita memandang serius isu mutu pengadilan.

“Kesilapan dilakukan tidak boleh dibiarkan sahaja dan kita sentiasa mencari jalan untuk penambahbaikan,” tegasnya.

Ketahui bagaimana Jepun memajukan sistem pengadilan bola sepak mereka melalui pautan artikel dibawah.

Budak Tingkatan 2 Ini Lulus Lesen Tahap 3 Hierarki Pengadil Bola Sepak Jepun

Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Struktur Piramid Pengadil Bola Sepak Jepun

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2020 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group