Hasrat pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk mengadakan latihan pusat pada bulan Jun selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kemungkinan besar tidak akan menjadi kenyataan.

Hal ini kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membayangkan bulan Jun sehingga akhir tahun ini akan dipenuhi dengan jadual padat perlawanan Liga Malaysia yang bakal disambungkan semula jika mendapat lampu hijau daripada kerajaan.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) minggu lalu mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai penangguhan semua perlawanan antarabangsa pada bulan Jun dan kelab tidak diwajibkan melepaskan pemain mereka jika mendapat panggilan daripada skuad kebangsaan.

PKP fasa ketiga yang dikeluarkan oleh kerajaan akan berakhir pada 28 April ini dan FAM menjangkakan PKP akan dilanjutkan sehingga penghujung bulan Mei.

“FIFA telah menangguhkan semua perlawanan antarabangsa pada bulan Jun, jadi ia akan dipenuhi oleh jadual perlawanan domestik (Jika Liga Malaysia bersambung).

“Bagaimanapun, kami akan berbincang dengan Malaysia Football League (MFL) mengenai kalendar jadual Liga Malaysia,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam New Straits Times. 

FAM
Sumber Gambar: FAM

Stuart turut terlibat dalam perbincangan video bersama 10 setiausaha agung daripada anggota AFC dan mendedahkan kebanyakan negara Asia yang lain tiada rancangan untuk mengadakan perlawanan antarabangsa pada bulan Jun ini.

Malaysia sepatutnya menentang UAE dan Vietnam dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022 pada bulan Mac lepas namun ia terpaksa ditangguhkan selepas kes wabak pandemik COVID-19 mencatat peningkatan yang mendadak sehingga menjejaskan perjalanan liga masing-masing.

Malah, Cheng Hoe juga bimbang dengan jadual padat yang sedang menanti pemain kerana ia berisiko untuk mendatangkan kecederaan serius.

“Kebimbangan disini ialah jadual perlawanan. Kami mungkin akan berdepan jadual yang cukup padat dan ini akan mendatangkan kecederaan apabila musim bola sepak kembali bersambung.

“Kami harus bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Saya juga perlukan ‘pool’ pemain yang lebih besar,” jelas Tan Cheng Hoe.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

‘Ekor’ Harimau Malaya Terlalu Bising Di Stadium, Hampir Mustahil Untuk Dengar Arahan Dalam Padang

New Zealand Mungkin Jadi Lawan Harimau Malaya

Safee Sali Intai Peluang Sertai Skuad Harimau Malaya Dalam Kelayakan Piala Dunia 2022