Kelmarin, peminat bola sepak dunia dikejutkan dengan berita pembentukan Liga Super Eropah (ESL). Ia merupakan sebuah pertandingan ‘Haram’ yang tidak diiktiraf oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) dan Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

12 Kelab telah diumumkan menyertai Liga Super Eropah iaitu AC Milan, Arsenal, Atlético, Chelsea, Barcelona, Internazionale, Juventus, Liverpool, Manchester City, Manchester United, Real Madrid dan Tottenham Hotspur.

Namun, pemain yang terlibat bakal dihalang daripada beraksi di peringkat tertinggi dalam karier bola sepak mereka.

UEFA dalam satu kenyataan rasmi berkata, mana-mana pemain daripada kelab itu yang beraksi dalam saingan Liga Super Eropah tidak dibenarkan mewakili negara masing-masing dalam perlawanan antarabangsa termasuk Piala Dunia.

“Pemain ini akan diharamkan daripada menyertai Piala Dunia dan Piala Eropah. Mereka tidak boleh mewakili negara lagi dalam mana-mana perlawanan,” kata Presiden UEFA, Aleksander Ceferin.

Berdasarkan kenyataan beliau, peminat tidak akan menyaksikan lagi kelibat dua bintang bola sepak iaitu Lionel Messi dari kelab Barcelona dan Cristinao Ronaldo dari kelab Juventus dalam saingan Piala Dunia yang akan datang.

Selain Ronaldo dan Messi, beberapa lagi pemain ternama yang berdepan penggantungan berkenaan termasuk penjaga gol, Jan Oblak, pertahanan, Sergio Ramos dan Virgil van Dijk.

Manakala pemain tengah pula ialah Bruno Fernandes, Mohamed Salah, Kevin De Bruyne dan penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane.

Bagaimanapun, Presiden Real Madrid, Florentina Perez yang dilantik sebagai pengerusi Liga Super Eropah memberi jaminan pemain ini tidak akan dihalang daripada menyertai Piala Dunia atau mana-mana perlawanan antarabangsa.

“Kalau pemain ini dilarang daripada bermain di Piala Dunia 2022 di Qatar, kita akan buat kejohanan Piala Dunia sendiri. Tiada masalah.

“Semua pemain perlu bertenang kerana ia tidak akan terjadi. Mereka tidak akan halang anda. Mustahil, saya boleh jamin, 100%. Ia tidak akan terjadi, undang-undang melindungi kita,” tegasnya.

Baca artikel lain untuk mengetahui lebih lanjut apakah itu Liga Super Eropah melalui pautan dibawah. 

Apa Itu Liga Super Eropah, Liga ‘Haram’ Yang Ditentang FIFA Dan UEFA

Pakar Perundangan Berikan Sebab Kenapa UEFA Bakal Kalah Di Tangan ESL Di Mahkamah

Ramalan Wenger Benar Belaka