Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini mengumumkan hanya pemegang pas bermusim sahaja yang dibenarkan menghadiri perlawanan Liga Super di antara JDT menentang Melaka United pada hari Jumaat ini di Stadium Sultan Ibrahim.

Ia bermaksud tiada jualan tiket akan dijual secara terbuka kepada para penyokong lawan atau penyokong tuan rumah yang tidak mempunyai pas bermusim.

Badan pengelola liga, Malaysia Football League (MFL) sebelum ini mengumumkan dua lokasi iaitu Stadium Sultan Ibrahim dan Stadium Bola Sepak Cheras sebagai venue percubaan untuk kemasukan penyokong mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Memandangkan Johor masih dalam kawasan PKPB, hanya 10% atau 2000 penyokong JDT sahaja dibenarkan masuk dan kebanyakan merupakan  pemegang Pas Bermusim Platinum.

Kerinduan hadir ke stadium untuk memberi sokongan kepada pasukan kesayangan masing-masing sudah tentu amat dirasai dalam kalangan peminat-peminat bola sepak negara yang hampir setahun tidak dapat memasuki stadium ekoran pandemik COVID-19.

“Bagaimanapun, jumlah yang dibenarkan untuk pemegang Pas Bermusim Gold adalah terhad ekoran syarat yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Malaysia Football League,” kata kenyataan daripada Johor Southern Tigers.

Pemegang Pas Bermusim Gold perlu mengambil QR Code (pas masuk) di kaunter pandu lalu di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos pada hari Khamis (12 tengah hari hingga 8 malam) atau hari Jumaat (10 pagi hingga 1 petang) tertakluk kepada jumlah sedia ada. Kad Pas Bermusim perlu ditunjukkan dan pengambilan oleh pihak ketiga dibenarkan jika kad pas bermusim ditunjukkan. Satu pas bermusim layak untuk mendapat satu QR Code sahaja.

Pemegang Pas Bermusim Gold perlu kekal di dalam kenderaan ketika pandu lalu kerana tiada kaunter fizikal disediakan. Hanya mereka yang mempunyai QR Code atau kad Pas Bermusim Platinum sahaja dibenarkan untuk berada di kawasan Stadium Sultan Ibrahim pada hari perlawanan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan JDT melalui pautan dibawah.

JDT Catat Rekod Tontonan Melebihi 1 Juta, 3 Perlawanan MD2 Liga Super Raih Hampir 2.3 Juta ‘Views’

JDT Lancar Kelab Hoki Ais Bertanding Dalam Liga Domestik

Perlawanan JDT Bertemu Selangor Catatkan 1.5 Juta Tontonan, Lebih 4 Juta Tontonan Untuk 6 Aksi Liga Super Malaysia LS4

Kekuatan Jenama JDT Bawa Pulangan Lumayan Kepada Para Penaja