Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe menegaskan tiada jalan mudah untuk pasukan bimbingannya meskipun terdapat perubahan pada aksi pusingan pertama kelayakan Piala Dunia Qatar 2020 dan Kelayakan Piala Asia 2023.

Malaysia akan menghadapi dua perlawanan play-off pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Timor Leste di laman sendiri serta berpeluang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga apabila perlawanan pertama akan diadakan pada 7 Jun (Hari Raya kedua).

Menurut Cheng Hoe, pemain perlu memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri dengan sebaik mungkin serta tidak lupa dengan tugasan bersama pasukan kebangsaan apabila diberi pelepasan sempena Aidilfitri nanti.

“Memang kita perlu ambil kesempatan apabila beraksi di laman sendiri. Semua orang beranggapan menentang Timor Leste adalah aksi mudah buat pasukan negara tetapi tidak bagi saya.

“Dalam bola sepak, pasukan mana yang gagal memberikan permainan terbaik dan hilang fokus, mereka akan dihukum dan saya tidak mahu perkara itu berlaku kepada kami. Timor Leste beraksi baik pada Piala AFF tahun lepas dan mereka mempunyai semangat juang cukup tinggi.

“Pemain kemungkinan besar akan dilepaskan pada hari raya pertama tetapi saya harap mereka tidak terlalu leka beraya,” kata Tan Cheng Hoe kepada Utusan Malaysia.

Skuad Kebangsaan
Sumber Gambar: FAM

Tambah Cheng Hoe, beliau dan barisan kejurulatihan masih memantau perkembangan pemain dalam saingan Liga Malaysia sebelum mengumumkan barisan pemain yang akan mewakili pasukan negara pada Jun nanti.