Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) mengesahkan kerajaan negeri tidak akan mengumumkan cuti khas pada Isnin ini jika skuad The Bos Gaurus berjaya menjulang Piala FA 2019 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Katanya dalam Arena Metro, tiada keperluan untuk memberikan cuti berkenaan memandangkan pada hari Selasa ini cuti umum di seluruh negara sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Memandangkan Selasa kita ada cuti umum sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, jadi saya kira tidak perlu bercuti pada Isnin.

“Ini kerana Ahad sempat berehat daripada menyambut kejayaan (jika menang Piala FA) dan Selasa kita boleh rehat semula, kalau banyak sangat cuti rugi kita,” katanya.

Hussein Eldor

Faizal turut menyampaikan amanat kepada semua pemain dan pengurusan pasukan Perak agar memberikan yang terbaik malam ini bagi membawa pulang piala berkenaan. 

Sebagai rekod, kali terakhir Perak menjulang Piala FA ketika menewaskan Terengganu 3-0 pada tahun 2004. Kapten pasukan, Shahrul Saad tekad membantu Perak menamatkan penantian 15 tahun untuk menjulang Shopee Piala FA tahun ini.