Manchester United mengesahkan bahawa penggempur utamanya, Cristiano Ronaldo tidak akan terlibat dalam tugasan menentang Liverpool di Anfield.

Ini kerana pemain tersebut perlu bersama keluarganya di saat sukar pada masa ini. Semalam Cristiano Ronaldo membuat kenyataan bersama dengan Georgina Rodriguez mengumumkan bahawa salah seorang daripada bayi kembar mereka telah meninggal dunia selepas dilahirkan.

Ronaldo dan pasangannya menyambut kelahiran cahaya mata kembar tak seiras, namun bayi perempuan selamat dilahirkan. Cuma bayi lelaki mereka yang meninggal dunia.

Ronaldo menganggap ianya sebagai detik yang paling sukar dalam hidupnya ketika ini.

Menulis di media sosialnya, Ronaldo menyatakan: “Dengan rasa sedih kami yang paling dalam, kami perlu mengumumkan bahawa bayi lelaki kami telah meninggal dunia. Ia adalah kesakitan yang paling teruk yang boleh dirasai oleh mana-mana ibu bapa.”

“Hanya kelahiran bayi perempuan kami memberi kami kekuatan untuk kami terus menjalani masa ini dengan sedikit harapan dan kebahagiaan.”

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada doktor dan jururawat atas semua penjagaan dan sokongan pakar mereka. Kami semua kecewa dengan kehilangan bayi ini dan kami memohon privasi pada masa yang sangat sukar ini. Bayi lelaki kami, kamu adalah malaikat kami. Kami akan sentiasa menyayangi kamu.”

United kini telah mengeluarkan kenyataan mereka sendiri, yang mengatakan:

“Semua orang di Manchester United dan dunia bola sepak telah menghantar mesej sayang kepada Cristiano Ronaldo dan keluarganya, selepas legenda kelab itu membuat pengumuman yang menyayat hati pada petang Isnin.”

“Keluarga lebih penting daripada segala-galanya dan Ronaldo menyokong orang tersayangnya pada masa yang amat sukar ini. ”

“Oleh itu, kami boleh mengesahkan bahawa dia tidak akan beraksi dalam perlawanan menentang Liverpool di Anfield pada petang Selasa dan kami ingin menggariskan permintaan keluarganya untuk privasi.”

“Cristiano, kami semua bersama kamu dan menghantar semangat kekuatan kepada keluarga kamu.”

Dalam mesej kepada Ronaldo di Twitter malam tadi, akaun rasmi Liverpool menyiarkan: “Kami semua di sini di Liverpool FC mengucapkan takziah kepada anda, Georgina dan keluarga”.

Liverpool menentang United bermula jam 8 malam [waktu UK] di Anfield.

Awal minggu ini, bos sementara Ralf Rangnick mendedahkan dia tidak dapat memilih pemain seperti Raphael Varane, Scott McTominay dan Fred untuk perlawanan itu – manakala Luke Shaw dan Edinson Cavani mungkin terlepas baki musim ini kerana kecederaan.

“Rapha [Varane] tidak berlatih dengan pasukan, dia berada di atas padang dengan salah seorang jurulatih pemulihan kami,” kata Rangnick.

“Berhubung dengan isu kecederaan, kami mempunyai situasi yang sama seperti yang kami alami dalam dua perlawanan terakhir.”

Bruno Fernandes pula disahkan boleh beraksi bersama pasukannya selepas mengalami kemalangan kecil semalam.