Malaysian Football League (MFL) percaya hubungan bersama rakan kongsi kekal utuh meskipun ada sesetengah pihak yang didakwa cuba mengeruhkan keadaan.

Isu terbaharu timbul apabila ada pihak menyarankan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) menyaman badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) itu susulan isu pendaftaran Mohamadou Sumareh.

Bagaimanapun, MFL tetap yakin bahawa PBNP antara salah satu daripada 25 rakan kongsi MFL sentiasa memiliki kerjasama terbaik dan hubungan erat dalam usaha menyelesaikan setiap permasalahan yang berlaku.

“Kita sentiasa mengikut Perlembagaan MFL dan telah berbincang dengan rakan kongsi kita (PBNP) tetapi rupanya ada pihak di luar sana mendakwa lebih mengetahui Perlembagaan MFL dan menyaran rakan kongsi kita menyaman MFL sendiri.

“Harapan dan nasihat saya kepada pihak-pihak tertentu tolong selidik dahulu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Ini kerana tiada asas untuk saman berlaku kerana MFL sentiasa memberikan keutamaan kepada kes Sumareh.

“Apa yang kita putuskan bahawa peraturan yang kekal lima tahun sebelum ini telah dikurangkan kepada satu tahun untuk faedah pemain ini dan Pahang sendiri. Sekarang sedang dipertimbangkan juga rayuan seterusnya untuk terus menghapuskan satu tahun itu sendiri.

“Walaubagaiamanapun saya percaya hubungan MFL dan PBNP sentiasa kukuh kerana kita berhubung antara satu sama lain.

“Apa yang terbaik sekarang adalah pihak ketiga itu mungkin lebih baik tidak membuat apa-apa komen menerusi laman sosial yang dia sememangnya tiada penglibatan langsung dalam isu berkenaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam hari ini.

Rentetan dakwaan tidak berasas itu, MFL sentiasa optimis isu pendaftaran Sumareh yang sepatutnya status pemain tempatan berkuatkuasa pada 2 Mac depan akan terjawab sebelum 16 Januari ini.

“Inilah isu yang cuba dimainkan oleh sesetegah pihak tetapi seperti saya katakan tadi MFL sentiasa memiliki hubungan cukup erat bersama dengan 24 rakan kongsi yang lain.

“Gandingan MFL bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga berada di tahap memberangsangkan dan mungkin sesetengah individu tidak perlu mengapi-apikan perhubungan kerjasama erat kami.

“Ini kerana ia adalah satu contoh yang tidak baik dalam semangat kesukanan terutama dalam bola sepak kerana masih ada pihak mahu menjatuhkan antara satu sama lain.

“Lantaran daripada pelbagai kenyataan yang tidak memiliki fakta kukuh ini telah membuatkan kekeliruan kepada peminat-peminat di mana saya berharap perbuatan mengapi-apikan tidak akan lagi berlaku.

“Apa yang MFL mahukan adalah menyaksikan keharmonian dan kemeriah Liga-M yang bakal berlangsung pada awal bulan depan, bukannya lebih mencetuskan kontroversi,” tambah Kevin.