Legenda bola sepak kelahiran Perancis, Thierry Henry berada dalam radar utama pasukan saingan Championship, Bournemouth untuk dilantik sebagai pengurus baharu kelab tersebut.

Selepas kehilangan Eddie Howe pada penghujung musim lalu sebaik sahaja tersingkir daripada kempen Liga Perdana Inggeris, Bournemouth dibimbing pula oleh Jason Tindall tetapi beliau hanya mampu bertahan selama enam bulan sebelum dipecat.

Tugasan tersebut pada ketika ini dipangku bekas pemain pertahanan tengah skuad kebangsaan England, Jonathan Woodgate.

Menurut laporan Sky Sports, Bournemouth yang ketika ini menduduki tangga keenam liga selepas mengumpul 49 mata dikatakan lebih berminat untuk membawa Henry ke Vitality Stadium berbanding beberapa calon lain seperti David Wagner, John Terry dan bekas rakan sepasukannya di Arsenal, Patrick Vieira.

Henry yang ketika ini sedang membimbing kelab dalam kancah Major League Soccer (MLS), CF Montreal [dahulu dikenali sebagai Montreal Impact] memulakan karier kejurulatihan bersama skuad remaja Arsenal.

Pada Ogos 2016, beliau ditawarkan tugasan sebagai pembantu kedua buat pengurus skuad kebangsaan Belgium, Roberto Martinez dan dua tahun kemudian dilantik pula sebagai pengurus pasukan AS Monaco bagi menggantikan Leonardo Jardim.

Segalanya tidak menjadi buat Henry bersama bekas kelabnya ketika bergelar pemain kerana skuad bimbingannya hanya mampu meraih dua kemenangan dalam kempen liga yang sekali gus menjurus kepada pemecatannya hanya selepas tiga bulan berkhidmat.

Bersama CF Montreal, Thierry Henry sedang dalam persiapan bagi menghadapi MLS 2021 yang akan bermula pada April ini dengan membawa masuk 11 pemain baharu termasuklah pemain skuad kebangsaan Canada, Zorhan Bassong dari Cercle Brugge.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

Zubir Ibrahim: ‘Drop Kick’, Ketenangan Dan Tegas Pelengkap Perjalanan Seorang Legenda

Sabah FC Tamatkan Kontrak Pemain Kacukan Thailand-Jerman, Dennis Buschening

Kisah Penswastaan Kedah FC Dari Sisi Shaizuan Flumen Holdings Sdn Bhd Yang Peminat Kedah Perlu Tahu

 

Sumber