Pemain tengah kelab Kemboja, Visakha iaitu Thierry Chantha Bin nyata gembira dapat bertemu dengan bekas kelabnya, Terengganu dalam saingan Piala AFC musim ini.

Chantha Bin beraksi selama dua musim bersama Terengganu dimana beliau pernah membantu kelab dari Pantai Timur itu mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia pada 2018.

Pemain kacukan Kemboja-Perancis itu nyata gembira dapat bertemu dengan skuad bimbingan Nafuzi Zain itu dan beliau mengucapkan selamat maju jaya.

“Saya bangga dan gembira kerana dapat bertemu bekas kelab saya (Terengganu). Saya harap kedua-dua pasukan ini dapat beraksi dengan baik dalam saingan musim ini.

“Akan tetapi kami perlu memberikan perhatian kepada perlawanan menentang Lalenok United terlebih dahulu kerana aksi ini bukan mudah bagi kami.

“Kami tidak beraksi dalam saingan liga selain tidak menjalani sesi latihan. Saya berharap situasi di Kemboja kembali baik agar saingan kembali berlangsung,” kata Thierry Chantha Bin.

Thierry Chantha Bin
Saingan peringkat kumpulan Piala AFC 2021.

Visakha perlu menang ke atas kelab Timor Leste iaitu Lalenok United untuk mendapat tempat dalam kumpulan I yang turut dihuni Geylang International (Singapura) dan FC Kaya-Iloilo (Filipina).

Satu lagi kelab Malaysia, Kedah Darul Aman (KDA) diletakkan dalam kumpulan H bersama Saigon (Vietnam), Persipura Jayapura (Indonesia) dan Lion City Sailors (Singapura).

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia di sini:

TERKINI: Kedah Dalam ‘Kumpulan Maut’ AFC Cup 2021 Zon ASEAN, Terengganu Miliki Laluan Selesa

Mat Don Akui Pernah Bekerja Di Tapak Pembinaan Sebelum Berhijrah Ke Malaysia

Dr Pekan Ramli: Kenyataan TMJ Tanda JDT Mahu Jadi Lebih Baik