Pemain bek berpengalaman, Thiago Silva mendedahkan beliau semakin hampir untuk menandatangani kontrak lanjutan untuk terus bersama kelab saingan Liga Perdana Inggeris, Chelsea.

Sudah memasuki musim ketiganya bersama The Blues, prestasi yang ditampilkan Silva dalam mengemudi jentera pertahanan Chelsea kelihatan cukup meyakinkan walaupun kelab tersebut pada ketika ini sedang dihimpit masalah prestasi.

Dua perlawanan terakhir kempen EPL juga menyaksikan Silva membentuk gandingan mantap bersama rekrut baharu, Benoit Badiashile dalam mengekang asakan lawan.

Dengan pengalaman luasnya yang pasti ditagih oleh Graham Potter untuk menjadi model ikutan pemain muda, Chelsea berada pada fasa terakhir untuk melanjutkan kontrak pemain berusia 38 tahun itu.

“Kami memang sudah bercakap mengenainya [merujuk kepada perbincangan kontrak lanjutan],” ujar Silva menurut laporan dikeluarkan Goal.

“Semuanya mungkin akan diselesaikan dalam tempoh beberapa hari lagi. Keinginan saya, dan juga kelab ini, adalah untuk terus bersama. Saya tahu kelab memerlukan saya pada ketika ini.”

“Saya berada di sini adalah agar dapat membantu, mereka merupakan barisan pemain muda. Saya tahu bahawa dengan pengalaman saya, saya boleh membantu dalam proses untuk kembali membina kelab ini.”

“Saya berada di sini kerana itu, bersedia untuk melakukannya bagaimanapun saya tahu bahawa tanggungjawab saya ini sangat besar,” tambah Thiago Silva lagi.

Seperti yang sudah pun diketahui ramai, Chelsea di bawah ‘pemerintahan’ Todd Boehly telah berbelanja besar untuk membawa masuk ramai pemain muda pada jendela perpindahan musim sejuk.

Barisan pemain yang dimasudkan ialah Enzo Fernandez, Mykhailo Mudryk, Noni Madueke, Andrey Santos, David Datro Fofana, Benoit Badiashile, Joao Felix (pinjaman) dan Malo Gusto (dipinjamkan kembali ke Lyon sehingga tamat musim).

Sumber