Pemain skuad kebangsaan Thailand, Theerathon Bunmathan menganggap tidak berbaloi untuk pasukannya beraksi menentang pasukan dari rantau Asia Tenggara.

Theerathon berkata demikian apabila ditanya mengenai saingan Piala AFF Mitsubishi Electric yang akan berlangsung pada hujung tahun ini selepas membantu negaranya layak ke temasya Piala Asia pada 2023.

Menurut pemain pertahanan Buriram United itu, beliau lebih memilih Thailand turun berdepan pasukan yang sentiasa bersaing di peringkat tertinggi di Asia.

“Secara peribadi, saya mahu beraksi menentang pasukan yang berada di tahap Asia. Kalau anda tanya saya adakah berbaloi menentang pasukan dari Asia Tenggara, saya mungkin akan berkata tidak.

“Saya tidak terlalu fokus dengan saingan peringkat Asia Tenggara. Menurut saya, sekarang adalah waktunya dimana Thailand harus melangkah ke depan. Thailand harus belajar dari Jepun. Mereka tidak peduli dengan reaksi selepas kegagalan, dan mereka juga tidak takut untuk gagal.

“Saya rasa untuk saingan AFF nanti, mereka boleh menghantar skuad B-17 atau B-19 tahun untuk beraksi kerana ini akan membawa banyak manfaat di masa hadapan. Tidak berjaya muncul juara sememangnya sukar untuk kita terima. Namun menghantar pasukan muda untuk beraksi adalah satu kewajipan jika kita mahu berkembang,” kata Theerathon Bunmathan.

Thailand layak ke Piala Asia setelah menduduki tangga kedua dalam kumpulan C di belakang Uzbekistan dengan kutipan enam mata hasil dua kemenangan dan satu kekalahan.

Skuad bimbingan Alexandre Polking menewaskan Maldive dan Sri Lanka pada dua perlawanan awal sebelum menutup tirai saingan kelayakan dengan kekalahan 2-0 kepada Uzbekistan.

Selain itu, Thailand juga merupakan juara pertahan saingan Piala AFF setelah mereka menewaskan Indonesia pada perlawanan akhir edisi lalu dengan keputusan 6-2 secara agregat sekaligus memenangi kejuaraan keenam.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

Dua Pemain Negara Bakal Sertai BG Pathum United

TMJ Akan Terus Menerajui Dan Mengendalikan Pasukan JDT – Titah Sultan Ibrahim

Jaami Qureshi Kunjungi Wisma FAM, Bakal Beraksi Bersama Malaysia?