Ketua pasukan skuad kebangsaam Thailand, Theerathon Bunmathan mahu khidmat Video Assistance Referee (VAR) untuk digunakan dalam saingan Piala AFF yang akan datang.

Theerathon baru-baru ini membantu Thailand meraih gelaran Piala AFF ketujuh setelah menewaskan Vietnam dengan keputusan 1-0 pada perlawanan akhir kedua sekaligus memenangi perlawanan dengan keputusan 3-2 secara agregat.

Gol tunggal yang dijaringkan oleh Theerathon ketika separuh masa pertama pada aksi di Stadium Thammasat turut memberikan anugerah Pemain Terbaik kepada pemain itu bagi edisi 2022.

Ketika ditemu bual selepas permainan, pemain pertahanan Buriram United itu terus memberikan pendapat dimana beliau mahu khidmat VAR untuk digunakan pada saingan akan datang.

“Saya mahu berterima kasih kepada semua kerana telah berjuang bersama-sama. Saya dedikasikan anugerah MVP ini kepada rakan sepasukan kerana tanpa mereka, saya tidak akan berada di sini.

“Mengenai masa depan saya dalam saingan Piala AFF, saya perlu berfikir panjang mengenai perkara ini. Saya mahu VAR digunakan supaya bola sepak Asia Tenggara boleh berkembang di peringkat Asia.

“Saya tidak mahu ada permainan kasar yang boleh mengakibatkan kecederaan serius di rantau ini,” kata Theerathon Bunmathan.

Ada beberapa insiden yang berlaku dalam saingan kali ini dimana pengadil terlepas pandang sekaligus gagal memberikan hukuman yang setimpal kepada pemain yang terlibat.

Paling ketara ialah insiden yang melibatkan Doan Van Hau ketika perlawanan kumpulan menentang Malaysia dan aksi separuh akhir bertemu Indonesia.

Azam Azmi Murad menjadi mangsa terawal Van Hau sehingga menyebabkan pemain Terengganu itu dilayangkan kad merah oleh pengadil.

Van Hau menyiku Azam di bahagian dada pada separuh masa pertama namun pengadil ketika perlawanan tersebut, Ryuji Sato tidak melayangkan sebarang kad dan tidak memberikan sepakan penalti kepada Malaysia.

Pemain itu turut melakukan kekasaran ke atas pemain Indonesia, Dendi Sulistyawan dan Ricky Kambuaya ketika perlawanan di Stadium Gelora Bung Karno.

Malah Theerathon juga menjadi mangsa permainan kasar pemain Vietnam dimana beliau ditumbuk oleh Que Ngoc Hai pada perlawanan akhir pertama di Stadium My Dinh.