Pemain pertahanan skuad kebangsaan Thailand, Theerathon Bunmathan tidak menolak kemungkinan untuk beliau beraksi dalam saingan Liga Malaysia pada masa akan datang.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhemi Zainal Azam menerusi laman media sosial Twitter miliknya selepas aksi kedua separuh akhir saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 menentang Malaysia yang menyaksikan Thailand memenangi perlawanan dengan keputusan 3-0 sekaligus mara ke perlawanan akhir.

Theerathon muncul sebagai salah seorang pemain terbaik dalam saingan Piala AFF edisi kali ini dimana beliau tampil cemerlang mengawal bahagian pasukan Thailand.

Kualiti sebenar beliau terserlah ketika aksi separuh akhir pertama dimana beliau menjadi penggerak kepada hampir semua gerakan serangan skuad kendalian Alexandre Polking itu. Namun sayangnya skuad Gajah Perang terpaksa akur dengan kekalahan 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Bekas pemain Yokohama F Marinos itu meneruskan prestasi cemerlangnya pada perlawanan kedua di Stadium Thammasat dimana beliau mencatat satu assist ketika Teerasil Dangda menjaringkan gol pertama Thailand.

Boleh beraksi sebagai pemain pertahanan dan juga pemain tengah, ini memberikan satu kelebihan tambahan yang boleh diberikan oleh Theerathon Bunmathan sekiranya beraksi dalam saingan Liga Malaysia.

Pemain berusia 32 tahun itu sebelum ini pernah beraksi bersama kelab besar di Thailand seperti Muangthong United dan juga Buriram United yang merupakan kelab beliau ketika ini.

Selain itu, Theerathon juga pernah beraksi dalam saingan Liga Jepun bersama Vissel Kobe yang turut diperkuatkan oleh bekas pemain tengah Barcelona, Andres Iniesta dan juga Yokohama F Marinos dimana beliau muncul sebagai pemain Thailand pertama yang berjaya menjuarai J1.

Di peringkat antarabangsa, Theerathon sudah memenangi beberapa kejuaraan bersama Thailand antaranya pingat emas Sukan Sea 2013 dan juga trofi Piala AFF sebanyak dua kali iaitu pada 2016 dan 2020.