Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

The Guardian dan BBC melaporkan bahawa beberapa dokumen bank bocor menunjukkan bahawa pemilik Chelsea, Roman Abramovich telah menderma 350 juta shekels ($102 juta) kepada kumpulan sayap kanan Israel – Elad.

Itu hampir setengah billion ringgit Malaysia.

Ianya untuk membantu Elad menguatkan lagi pengaruh Israel di Timur Jurusalem.

Dengan wang itu, Elad akan menggiatkan lagi penggalian arkeologi di Jerusalem Timur dan membeli rumah-rumah serta mengambil tanah milik warga Palestin untuk disewa atau dijual lagi kepada warga Yahudi yang lain.

1699867835

Ini untuk meningkatkan jumlah mereka di sana dan menguatkan pengaruh di kawasan tersebut.

Abramovich kantoi

Dokumen itu telah dibocorkan ke laman web BuzzFeed, yang mengedarkannya kepada Konsortium Wartawan Penyiasat Antarabangsa. Dokumen itu kemudian dikongsi dengan 400 wartawan dari 108 outlet media di seluruh dunia.

Menurut laporan itu, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Elad (non profit organization), yang juga dikenali sebagai Yayasan Ir David, telah menjenamakan dirinya sebagai organisasi bidang pendidikan dan pelancongan dan membantu untuk meningkatkan populasi dan pengaruh Yahudi di Jerusalem Timur.

Shahar Shiloh, mantan ketua pemasaran untuk mempromosikan Elad sehingga 2016, menjelaskan dalam wawancara dengan British Broadcasting Corporation / BBC bahawa strategi Elad sudah berubah.

Kini mereka fokus pada pelancongan warisan. Oleh itu Elad telah cuba membentuk dan mempengaruhi pendapat masyarakat umum untuk memantapkan kedaulatan Yahudi ke atas Jerusalem kuno selama-lamanya.

Mereka berusaha mengubah persepsi agar dunia luar mengiktiraf bahawa kawasan itu memang milik mereka.

Secara keseluruhannya, Elad adalah salah satu organisasi bukan berorientasikan keuntungan yang terbesar dan terkaya di Israel.

Shahar Shilo, mengatakan strateginya adalah menggunakan pelancongan “untuk mewujudkan realiti politik yang berbeza” dalam lingkungan yang didominasi oleh Palestin.

Dokumen yang bocor menunjukkan bahawa sumbangan dari empat syarikat yang berpangkalan di Kepulauan Virgin Britain merangkumi hampir separuh daripada semua sumbangan Elad dari tahun 2005 hingga 2018.

Abramovich adalah pemilik berdaftar dari tiga syarikat ini, dan ada kawalan ke atas saham di keempat-empat syarikat tersebut. Ini menjadikannya penderma terbesar untuk Elad dalam 15 tahun terakhir.

Jurucakap Abramovich memberitahu BBC bahawa Abramovich adalah penderman yang komited dan dermawan masyarakat awam Israel dan Yahudi, dan selama 20 tahun terakhir.

Dia telah menyumbang lebih dari $500 juta untuk menyokong penjagaan kesihatan, sains, pendidikan dan masyarakat Yahudi di Israel dan seluruh dunia.

Dana Abramovich digunakan oleh Elad untuk membeli rumah Palestin di Silwan dan memperkuatkan kehadiran peneroka Yahudi di sana.

BBC juga mendapati bahawa sumbangannya digunakan untuk membiayai dan berkempen untuk pengusiran keluarga Palestin di kawasan itu.

1547859236 (1)

Gambar keluarga Palestine dihalau dari rumah kerana dituduh menceroboh kawasan Elad

Salah satu keluarga tersebut adalah Sumarin, yang tinggal di sebuah rumah yang berdekatan dengan pusat pelawat Elad. Mereka telah berlawan dengan ‘undang-undang Zionis’ sejak sekian lama, yang mahu mengambil rumah mereka.

Elad membayar semua yuran perundangan kumpulan yang berkaitan dengan kes itu, yang akan dibawa ke Mahkamah Agung Israel pada bulan April 2021.

Mohammed Dahle, peguam keluarga Sumarin selama 10 tahun, mengatakan bahawa adalah hampir pasti tiada peluang untuk warga Palestine yang ditindas menang dalam kes yang dibicaralam di Mahkamah Agung Israel.

Hampir setiap dokumen menyatakan bahawa kawasan itu milik Israel.

Elad mempunyai aset dalam jumlah yang besar. Pada laporan kewangannya tahun 2018, Elad dianggarkan mendapat perolehan sekitar 116 juta / $33.4 juta.

Dalam laporan untuk tahun tersebut kepada pendaftar syarikat bukan perniagaan, Elad menyenaraikan pegangan hartanah bernilai hampir 250 juta shekel ataupun $72.12 juta.

Tahun yang sama Elad mengumumkan mereka mendapat sumbangan sekitar $24 juta. Dan kebanyakan sumbangan itu daripada rakan Friends of Ir David di New York.

Syarikat Abramovich aktif menyumbang dana

Baru baru ini Elad menerima dana daripada 4 syarikat berpangkalan di Virgin Islands – Britain. Salah satu dari empat syarikat itu bernama Farleigh, dari mana Elad menerima hampir $50 juta.

Firma yang lain bernama Leiston memberikan Elad sekitar  $27 juta. Sebuah syarikat bernama Ovington memberikan sekitar $19 juta dan Cantley, syarikat keempat, menyumbang sekitar $3.4 juta.

Keempat syarikat itu, yang berdaftar di Kepulauan Virgin pada hari yang sama pada tahun 2003 dan di alamat yang sama, secara kolektif menyumbang sejumlah $102 juta. Kira-kira separuh daripada jumlah sumbangan Elad untuk tahun-tahun tersebut.

Menurut laporan, 3 daripada syarikat itu ada kepentingan saham oleh Abramovich, manakala satu lagi adalah dikawalnya sepenuhnya.

Pada tahun 2007, mereka menyumbang sekitar 90 peratus sumbangan yang diterima Elad pada tahun tersebut, dan untuk tahun ini.

Sebahagian besar sumbangan dilaporkan digunakan untuk “pelbagai projek pembangunan dan perumahan di City of David.”

Leiston adalah syarikat pelaburan yang mengadakan sejumlah kontrak dengan pemain bola sepak dan berada di bawah kawalan rakan sekutu Abramovich.

Abramovich yang berasal dari Rusia, antara billionaire terkenal kerana pemilikannya di pasukan Chelsea. Dia menjadi warganegara Israel pada tahun 2018.

Dia mendapat kewarganegaraan itu dengan mudah kerana statusnya sebagai orang kenamaan dan juga susur galur keturunannya yang ada darah Yahudi.

Abramovich terpaksa mengorbankan kewarganegaraan Rusianya kerana dasar baharu di Britain yang sangat ketat ke atas Rusia.

Kerajaan British dilaporkan mengetatkan syarat visa kepada orang Rusia selepas percubaan membunuh oleh ‘double agent’, Sergei Skripal di Salisbury.

Dia mempunyai kekayaan yang dianggarkan antara $12 bilion hingga $13 bilion dan dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah membeli beberapa hartanah mewah di Israel.

Abramovich tidak pernah secara terbuka bercakap mengenai isu politik, diplomatik atau lain-lain yang berkaitan.

Beliau juga tak pernah menyatakan pendiriannya tentang konflik Israel-Palestin.

Walaupun begitu, sumbangan besar kepada Elad yang telah dibuat oleh syarikat-syarikat yang berkaitan dengan Abramovich telah membuatkan ramai mulai berspekulasi tentang pendirian politiknya.

Contohnya, ketika sumbangan mulai masuk dari Kepulauan Virgin, Elad telah membawa sekitar 190 penduduk Israel – Yahudi masuk ke Silwan dan Taman Nasional Kota David, yang menerima sekitar 150,000 pengunjung setahun.

Beberapa musim lalu, Abramovich pernah berkonflik dengan Maurizzio Sarri selepas dia berkeras meminta pengurus itu menurunkan pemain bintang dalam acara amal untuk mengumpul dana bagi badan kebajikan Yahudi.

Namun buat masa ini, Roman Abramovich masih belum memberikan komen di atas berita tentang dana yang disumbang kepada Elad. Sama sama kita tunggu penjelasan beliau jika ada.

Sumber

Chelsea FC owner funded Israeli settler organization: Arabenews

Leaks show Chelsea owner Abramovich funded Israeli settler group: The Guardian

Companies Linked to Roman Abramovich Donated $100 Million to E. Jerusalem Right-wing Group: Haretz

Israeli settlers’ Chelsea boss backer: BBC

Baca juga perkembangan lain

Alex Telles, Si Bek Sisi Moden Berminat Ke United, Kini Terserah Ed Woodward

EPL: City Lepasi Cabaran Wolves

FPL: Hampir Setengah Juta Jual Son, Dan Lebih Setengah Juta Beli Bruno Fernandes Untuk GW2

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group