Persiapan skuad kebangsaan Filipina menjelang saingan peringkat kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pusingan kedua mendapat tamparan hebat apabila penjaga gol utam apasukan, Neil Etheridge mengalami kecederaan ketika beraksi bersama Cardiff City dalam saingan Liga Kejuaraan minggu lalu.

Etheridge mengalami kecederaan pangkal paha ketika Cardiff tewas dengan keputusan 3-2 di tangan Wigan Athletic. Penjaga gol berusia 29 tahun itu akan berehat selama enam hingga ke lapan minggu dan akan terlepas dua aksi pertama bertemu pasukan Syria dan Lebanon pada 5 dan 10 September ini.

Menurut laporan Fox Sport Asia, ketua jurulatih pasukan, Scott Cooper berkata: “Neil Etheridge mungkin akan bersedia bagi perlawanan menentang China pada 15 Oktober mendatang.

Pada masa yang sama, Cooper telah menyenaraikan seramai 39 pemain bagi menyertai sesi latihan rasmi The Azkals. Tujuh pemain baharu yang beraksi di luar negara turut dipanggil bagi melihat kemampuan serta kualiti yang dimiliki dan dinilai sama ada sesuai untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Filipina. Tujuh pemain yang dimaksudkan ialah Bernd Schipmann (Rot Weiss Ahlen) , Michael Kempter (FC Zurich), Raphael Obermair (SK Sturm Graz), Jesse Curran (bekas pemain Dundee United) dan Elias Mordal (Brattvag), Yrik Galantes dan Niko De Vera.

Sebelum ini, Neil Etheridge turut terlepas untuk beraksi dalam saingan Piala AFF Suzuki 2018 dan Piala Asia 2019 kerana terikat komitmen bersama Cardiff City yang ketika itu beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Dalam saingan peringkat kelayakan kali ini, Filipina diundi dalam kumpulan A bersama pasukan Syria, Guam, China dan Maldives.