Pasukan kebangsaan Thailand memutuskan mereka tidak akan menyertai kejohanan Pesta Bola Merdeka yang dijadualkan membuat kemunculan semula pada tahun ini.

Perkara ini dikongsikan oleh Asean Football dimana juara Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 itu menerusi presiden Persekutuan Bola Sepak Thailand (FAT), Patit Suphaphong menegaskan mereka mahu mengadakan kejohanan sendiri iaitu King’s Cup yang bakal berlangsung pada bulan September ini.

Sebelum ini, ada empat negara iaitu Vietnam, Thailand, Palestine dan Syria yang berada dalam senarai pendek Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk dijemput bagi menyertai kejohanan Pesta Bola Merdeka.

Satu lagi pasukan iaitu India sudah mengesahkan penyertaan mereka selepas Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF), Shaji Prabhakaran mengadakan perbincangan dengan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

India pada mulanya tidak berada dalam senarai untuk dijemput dan perkara ini nyata membangkitkan kemarahan peminat bola sepak negara tersebut dimana mereka mahu pasukan kebangsaan itu dijemput kerana FA India yang memberikan idea mengenai kejohanan tersebut diadakan semula.

Kejohanan ini merupakan sebuah kejohanan bola sepak tahunan yang diadakan dengan tujuan untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia. Kejohanan ini telah bermula sejak tahun 1957 dan merupakan kejohanan bola sepak jemputan yang tertua di Asia.

Semasa 1950-an dan awal 1980-an, ia merupakan satu kejohanan berprestij di kalangan negara-negara Asia kerana para peserta menghantar pemain skuad utama mereka.

Kali terakhir kejohanan ini dilangsungkan ialah pada 2013 yang mana skuad B-23 Tahun negara kendalian Datuk Ong Kim Swee berjaya muncul juara dengan menewaskan Myanmar pada perlawanan akhir dengan keputusan 2-0 menerusi jaringan Rozaimi Abdul Rahman dan Junior Eldstal.

Pesta Bola Merdeka bakal dijadikan sebagai medan persediaan untuk pasukan negara bimbingan Kim Pan-gon yang bakal beraksi dalam temasya Piala Asia 2024 di Qatar.