Pasukan Thailand akan memanggil tiga pemain yang beraksi di Liga Jepun bagi menghadapi kejohanan persahabatan empat penjuru iaitu King’s Cup yang dijadualkan berlangsung pada September ini.

Menurut perkongsian Asean Football di laman media sosial Twitter, ketua jurulatih skuad Gajah Perang akan memanggil tiga pemain iaitu Chanathip Songkrasin (Kawasaki Frontale), Supachok Sarachat (Hokkaido Consadole Sapporo) dan Chaowat Weerachat (Cerezo Osaka) bagi memperkuatkan pasukan dalam kejohanan King’s Cup.

Setakat ini, tiga pasukan sudah mengesahkan penyertaan mereka iaitu Thailand sebagai tuan rumah, Malaysia dan satu pasukan dari Asia Tengah iaitu Kyrgyzstan yang berada di ranking 95 dunia.

Kyrgyzstan dilaporkan menjadi pilihan Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) kerana mereka juga turut layak ke Piala Asia 2023 secara merit. FAT juga masih menanti pengesahan daripada pasukan keempat dari benua Amerika Selatan, Amerika Utara atau Afrika.

Sebelum ini, Bolivia yang berada di ranking 81 dunia dikhabarkan bakal menjadi pasukan yang akan mengambil bahagian namun masih belum ada sebarang pengesahan rasmi daripada badan induk bola sepak negara itu.

Presiden FAT, Somyot Phumphanmuang mengumumkan Thailand tidak akan menurunkan pasukan bawah 23 tahun untuk King’s Cup sebaliknya bakal menyenaraikan barisan terkuat dibawah kendalian Mano Polking sebagai persiapan menghadapi Piala Asia 2023.

Saingan King’s Cup dijalankan dalam format kalah mati. Pasukan yang menang akan mara ke perlawanan akhir manakala pasukan yang kalah berentap untuk penentuan tempat ketiga. Setiap keputusan perlawanan memberi pulangan mata ranking FIFA.

Berdasarkan rekod, skuad Harimau Malaya pernah muncul juara dalam empat edisi King’s Cup sebelum ini iaitu pada tahun 1972, 1976, 1977 dan 1978.

Kejohanan tersebut dijadikan medan terbaik untuk menguji taktikal ketua jurulatih pasukan negara, Kim Pan-gon berdepan lawan yang lebih kuat dan juga sebagai persiapan menghadapi Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang dijangka berlangsung pada 21 Disember hingga 17 Januari 2023. Undian untuk Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 akan berlangsung pada 30 Ogos ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

Brad Maloney Dilantik Sebagai Ketua Jurulatih Australia B-17

Tiga Negara Sahkan Penyertaan Dalam King’s Cup 2022

TMJ Beri Bayangan Papu Gomez Bakal Beraksi Bersama JDT