Satu-satunya wakil daripada rantau Asia Tenggara dalam temasya Piala Dunia Wanita 2019, Thailand memulakan saingan dengan langkah kiri apabila dibelasah oleh juara bertahan, Amerika Syarikat dengan keputusan 13-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stade Auguste-Delaune awal pagi tadi.

Amerika Syarikat yang memenangi edisi empat tahun lalu di Kanada bermula dengan garang sejak minit-minit awal permainan. Pemain bintang mereka, Alex Morgan menjadi tumpuan apabila menjaringkan 5 gol. Rose Lavelle dan Samantha Mewis masing-masing menjaringkan dua gol manakala Lindsey Horan, ketua pasukan Megan Rapinoe dan dua pemain gantian, Mallory Pugh dan Carli Lloyd turut menyumbang jaringan.

Kemenangan besar US ini nyata mendapat kritikan apabila mereka dianggap tidak menghormati lawan yang kini menghuni kedudukan ke-34 dalam ranking FIFA. Tindakan Amerika menjaringkan enam gol dalam tempoh 16 minit terakhir sebelum wisel penamat dibunyikan nyata tidak disenangi oleh ramai pihak.

Kemenangan besar Amerika bukan sahaja mengatasi rekod yang dicatat oleh pasukan itu dengan kemenangan 7-0 dalam temasya Piala Dunia Wanita malah mengatasi rekod yang dicatat oleh Jerman ketika membelasah pasukan Argentina dengan keputusan 11-0 pada edisi 2007.

Pada perlawanan kedua peringkat kumpulan, Thailand akan turun menentang pasukan Sweden manakala Amerika Syarikat akan berdepan dengan wakil dari Amerika Selatan, Chile.