Juara Copa America 2019, Brazil bakal terbang ke Asia Tenggara untuk menghadapi satu perlawanan persahabatan antarabangsa menentang skuad kebangsaan Thailand di Stadium Nasional Singapura pada bulan Oktober depan.

Menurut laporan daripada Straits Times, perlawanan itu dianjurkan oleh sebuah syarikat media terkemuka dari London, Pitch International dengan kerjasama Persatuan Bola sepak Thailand (FAT) dan Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF). Ia adalah sebahagian daripada program Brasil Global Tour yang dilancarkan sejak tahun 2012.

Bagaimanapun, belum ada kenyataan rasmi daripada kedua-dua badan induk bola sepak itu kerana ia masih di peringkat perbincangan.

Perlawanan ini tentu akan menjadi persiapan terbaik untuk skuad Thailand yang akan menghadapi UAE dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 15 Oktober ini di Stadium Thammasat, Bangkok.

Kali terakhir Brazil bertemu skuad gajah perang itu ialah pada tahun 2000 ketika dalam perlawanan Piala Raja Thai. Thailand mengalami kekalahan besar 7-0 kepada juara Piala Dunia 5 kali itu yang turut dibarisi oleh beberapa bintang terkemuka seperti Roberto Carlos, Rivaldo, Cafu dan Dida.

Sumber