Pihak Thai League dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui laman sosial rasmi mereka telah membayangkan bahawa pwnggunaan sistem VAR (Video Assistant Referee) dan AAR (Additional Assistant Referee) akan diperkenalkan semula selepas dihentikan pada 1 April 2018.

Penganjur liga bola sepak Thailand itu juga dengan kerjasama FAT, FIFA dan AFC telah mengadakan kursus latihan khas kepada para pengadil mengenai penggunaan sistem VAR dengan lebih mendalam sebagai persediaan lebih rapi.

Sebelum ini Thai League telah menggunakan sistem VAR sekitar Januari 2018 tetapi menghentikan penggunaan sistem tersebut selepas mengalami beberapa masalah terutamanya kurangnya kemahiran pegawai perlawanan berkenaan sistem serta menerima banyak aduan dari kelab yang beraksi.

Ketika itu, FAT turut menawarkan kepada kelab-kelab yang berminat untuk menggunakan sistem VAR, boleh menghubungi mereka dan FAT akan menghantar wakil syarikat yang menjalankan operasi sistem VAR ke stadium. Namun, kelab perlu membayar harga penggunaan sistem itu sekitar RM394 hingga RM531.

Menurut kenyataan itu juga, dijangkakan sistem VAR dalam saingan liga domestik Thailand akan dimulakan semula sekitar Oktober 2019 selepas semua pegawai perlawanan yang terlibat menerima latihan yang cukup.

F2CDEDFB-CC7B-4824-B715-4BE9BC769258

Sistem VAR diperkenalkan secara rasmi dalam saingan bola sepak Thailand pada 19 Januari 2018 ketika perlawanan Thai Champions Cup diantara Buriram United bertemu Chiangrai United, dimana Diogo Luis Santo merupakan ‘mangsa’ pertama sistem VAR apabila dilayangkan kad merah dalam perlawanan tersebut.