Perlawanan Thai League 1 di antara BG Pathum United menentang Police Tero pada malam esok bakal menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan apabila dua pemain skuad Harimau Malaya iaitu Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo) dan Dominic Tan bakal berentap memburu 3 mata penuh.

BG Pathum United kini berada di kedudukan kelima liga selepas mengutip 4 mata dalam 2 perlawanan. Pada perlawanan pertama, mereka menewaskan juara Thai League 4 kali, Muangthong United 2-1 dan kemudian mencatat keputusan seri tanpa jaringan PT Prachuap.

Paling menarik, Mat Yo diturunkan dalam kesebelasan utama pada kedua-dua perlawanan itu dan dijangka menjadi pilihan pengendali pasukan, Dusit Chalermsan untuk memperkuatkan jentera serangan.

BG Pathum
Sumber Gambar: BG Pathum United

Namun begitu, bekas penyerang Pahang itu masih belum menjaringkan sebarang gol setakat ini.

Manakala, naib juara Thai League 2, Police Tero FC berada dalam prestasi terbaik apabila mencatat dua kemenangan berturut-turut pada perlawanan sebelum ini. Mereka mengejutkan naib juara Thai League 1 2019 iaitu Buriram United, 1-0 dan kemudian menewaskan FC Trat, 3-1.

Pemain pertahanan Malaysia, Dominic Tan berada dalam barisan 18 pemain yang dibawa oleh ketua jurulatih Police, Rangsan Viwatchaichok ketika menentang FC Trat.

Bagaimanapun, pemain berusia 23 tahun itu hanya memanaskan bangku simpanan, berbeza dengan minggu lalu dimana beliau diturunkan pada minit ke-70 ketika menentang Buriram United.

Thai League
Sumber Gambar: Police Tero FC

Berdasarkan rekod pertemuan dalam saingan Thai League 2 musim lepas, Police Tero pernah menewaskan BG Pathum, 2-1 di tempat sendiri dan seri 1-1 di tempat lawan.

Ia pasti akan menjadi perlawanan yang sengit kerana kedua-dua pasukan terdesak untuk mendapatkan 3 mata penuh bagi menghuni kedudukan teratas dalam Thai League 1.

Lihat artikel lain mengenai perkembangan pasukan Police Tero dan BG Pathum yang mungkin anda terlepas pandang.

Thai League 1 2020: Police Tero Raih Kemenangan Kedua

BG Pathum United Catat Kehadiran Paling Tinggi Dalam Perlawanan Pertama Thai League 1 Musim 2020