Terdapat satu insiden yang tidak diingini berlaku ketika perlawanan separuh akhir kedua TM Piala Malaysia 2022 diantara Terengganu menentang Selangor di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam, sekumpulan penyokong Terengganu bertindak liar dengan melempar batu ke arah bas yang membawa pemain dan jurulatih Selangor selepas tamat perlawanan.

Difahamkan di dalam bas tersebut turut terdapat anak-anak kecil pemain Selangor yang menumpang untuk pulang bermalam di hotel penginapan pasukan.

Terengganu FC (TFC) dalam satu kenyataan rasmi hari ini mengecam tindakan tersebut dan menyifatkan kejadian tersebut telah mencalarkan imej kelab.

“Berkenaan insiden kekacauan yang dilakukan oleh segelintir penyokong Terengganu FC ke atas bas pasukan pelawat semalam, pihak pengurusan kelab ingin melafazkan kekesalan serta mengecam tindakan yang dilakukan.

“Perkara ini dilihat telah turut sama mencalarkan imej kelab serta penyokong Terengganu yang lain yang sama-sama hadir dalam memberikan sokongan buat pasukan ini.

“Pihak kelab juga dengan ini ingin memohon maaf kepada pihak Selangor FC atas insiden yang telah berlaku dan diharapkan perkara ini tidak akan berulang pada masa-masa yang akan datang kerana pada tahun ini tidak boleh dinafikan lagi para penyokong Terengganu telah menunjukkan komitmen serta disiplin yang sangat baik dalam memberikan sokongan, dan sesungguhnya segelintir yang telah melakukan kekacauan ini tidak mewakili serta menggambarkan imej serta keperibadian keseluruhan penyokong pasukan ini,” tulis kenyataan rasmi.

Perkara ini dianggap memalukan dan tidak profesional kerana boleh mendatangkan bahaya serta kecederaan terhadap pemain. Malah, pasukan Terengganu juga bakal berdepan hukuman denda daripada FAM dan MFL.

Terengganu gagal mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini setelah mereka tewas dengan agregat 3-2 menentang juara 33 kali itu.

Kipre Tchetche menjaringkan gol tunggal bagi Terengganu pada aksi kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin namun gol tersebut tidak cukup untuk membawa naib juara Piala FA itu ke pentas akhir.

Selangor beraksi dengan 10 orang pemain pada minit ke-87 selepas Yazan Al Arab diperintah keluar padang apabila mengutip kad kuning kedua. Ia berpunca daripada kekasarannya yang dilakukan terhadap Kipre Tchetche.

Kelebihan itu gagal dimanfaatkan oleh Terengganu apabila gagal menambah jaringan sehingga minit akhir perlawanan sekaligus memastikan tiket ke final TM Piala Malaysia 2022 menjadi milik Selangor.

SelangorΒ akan bertemu juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 26 November di Stadium Nasional Bukit Jalil. Ia juga merupakan perlawanan yang penting kerana juara Piala Malaysia musim ini akan mendapat tiket beraksi di Piala AFC tahun depan.