Kem Terengganu FC (TFC) kembali mengukir senyuman selepas berjaya menundukkan Kedah Darul Aman (KDA) 2-1 pada aksi kelapan Liga Super Malaysia 2021 yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar, sebentar tadi.

Tiga mata penuh yang diraih tersebut nyata hadir tepat pada masanya ketika skuad bimbingan Nafuzi Zain itu gagal mencatatkan sebarang kemenangan pada empat perlawanan terakhir.

Manakala, KDA pula hampa berikutan rekod empat kemenangan berturut-turut sebelum ini gagal diteruskan di hadapan para penyokong yang sudah dibenarkan ke stadium.

Ia juga merupakan kekalahan pertama buat KDA selepas enam perlawanan dimana kali terakhir skuad Lang Merah tewas adalah ketika aksi Piala Sumbangsih bertemu JDT.

10 minit awal permainan menyaksikan pasukan tuan rumah mengancam kubu TFC yang dikawal Mohd Suhaimi Husin tetapi masih belum mampu menghasilkan jaringan.

Memasuki minit ke-26, giliran Baddrol Bakhtiar pula mendapat peluang untuk membuka tirai jaringan. Namun, tandukan ketua pasukan KDA itu hasil sepakan percuma yang diambil Ataya berjaya ditepis keluar Suhaimi.

TFC turut mendapat peluang keemasan berselang enam minit kemudian apabila sepakan percuma yang cantik diambil Mohamad Hakimi Abdullah sekadar singgah di palang gol ketika penjaga gol KDA, Mohd Shahril Sa’ari sudah pun tertewas.

Penantian jaringan akhirnya menjelma pada minit ke-40 apabila pemain pertahanan TFC, Muhammad Mohd Faudzi tertampan bola ke gawang sendiri ketika cubaannya untuk mematahkan hantaran lintang Rabih Ataya bagi menghadiahkan jaringan pembukaan buat KDA.

Kegembiraan penyokong tuan rumah itu bagaimanapun hanya mampu bertahan selama tujuh minit setelah TFC diberikan sepakan penalti susulan percubaan daripada Carli De Murga dalam kawasan penalti terkena tangan Ariff Farhan.

David Da Silva yang kembali beraksi selepas terlepas enam aksi akibat kecederaan tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan tersebut pada minit kedua masa kecederaan separuh masa pertama.

Aksi di babak kedua menyaksikan TFC memberikan tekanan buat kubu KDA dengan pemain sayap, Mohamad Faisal Abdul Halim mempamerkan kelincahannya dalam mengkucar-kacirkan barisan pertahanan lawan.

Selepas dua hantarannya di depan gawang KDA gagal disempurnakan rakan sepasukan, beliau kemudiannya melakukan lorongan cantik buat Muhammd Azam Azmi Murad pada minit ke-60 bagi membolehkan pemain muda tersebut meledakkan rembatan sekali gus memberikan gol kedua buat TFC.

Tertekan dengan keadaan tersebut, Kedah cuba bangkit untuk mendapatkan jaringan tetapi segalanya buntu dan menyaksikan dua pemain mereka, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam dan Rodney Calvin Akwensivie dilayangkan kad merah pada lewat permainan.

Keputusan 2-1 itu kekal sehingga tamat permainan untuk TFC melonjak ke tangga ketiga dengan 15 mata manakala kedudukan KDA di tangga kedua tidak berubah dengan 16 mata diraih.