Ketua jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe melihat anak buahnya gagal untuk menyaingi pemain Sabah sehingga menyebabkan mereka tumpas 1-2 di Stadium Likas, malam tadi.

Kekalahan itu juga sekali gus menamatkan kecemerlangan Selangor yang menang pada lima perlawanan terakhir.

Perlawanan ke-10 Liga Super Malaysia 2023 itu menyaksikan Saddil Ramdani membuka tirai jaringan pada minit ke-24 menerusi sepakan penalti manakala Mohamad Faisal Abdul Halim menyamakan kedudukan ketika aksi memasuki minit ke-52.

Jaringan kemenangan tuan rumah hadir pada minit ke-66 berikutan kesilapan Sharul Nazeem Zulpakar apabila cubaannya untuk menghalang sepakan percuma Baddrol Bakhtiar masuk ke gawang sendiri.

Susulan dengan kekalahan yang dihadapi, Cheng Hoe tanpa berselindung mengakui pemain Sabah lebih bertenaga untuk meraih kemenangan.

“Ya, saya rasa ini merupakan perlawanan yang sukar bagi kami. Kita tahu Sabah begitu agresif di laman sendiri dan kami tidak bermain seperti kebiasaan.”

“Sudah tentu kami tidak mengekalkan momentum yang kami dan kita nampak pasukan Sabah lebih dahagakan kemenangan. Mereka hampir menang setiap bola pertama dan kedua pada perlawanan ini,” ujar Tan Cheng Hoe bercakap dalam sidang media selepas perlawanan.

“Sudah tentu kalau kita lihat secara keseluruhan kita bermain begitu baik cuma ada satu dua kesilapan menyebabkan kita dibolosi gol.”

“Kita perlu fokus pada setiap perlawanan dan tidak boleh hilang fokus kerana bukan mudah bertandang di Sabah kerana kita tahu Stadium Likas merupakan kubu kuat buat pasukan Sabah.”

“Itulah sebab saya rasa kita perlu bangkit semula dalam rehat Sukan SEA ini untuk kita bersedia bagi perlawanan akan datang nanti,” tambah Cheng Hoe lagi.