Ketua jurulatih skuad kebangsaan Vietnam, Park Hang-seo tetap memuji persembahan yang ditampilkan oleh anak-anak buahnya meskipun tewas kepada China dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022 semalam.

Vietnam tewas tipis dengan keputusan 3-2 dimana gol kemenangan China dijaringkan pada masa tambahan separuh masa kedua. Keputusan ini membolehkan China meraih tiga mata pertama manakala Vietnam tewas dalam tiga aksi berturut-turut.

“Kami gagal, terutamanya dibolosi pada akhir permainan pada waktu tambahan. Namun para pemain telah beraksi dengan baik dimana merela tidak menyerah kalah meskipun ketinggalan dua gol.

“Kami merasakan sedikit penyesalan. Mungkin kerana saya menggantikan pemain di bahagian pertahanan teralu cepat. Saya rasa itu adalah kesalahan kami.

“Kesalahan yang dilakukan oleh pemain adalah tanggungjawab ketua jurulatih. Pemain perlu melakukan kesalahan untuk berkembang,” kata Park Hang-seo.

Zhang Yuning terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-53 sebelum Wu Lei menggandakan kelebihan China pada minit ke-75.

Namun Vietnam tidak menyerah kalah dimana mereka berjaya bangkit menerusi jaringan Ho Tan Tai pada minit ke-80 dan Nguyen Tien Linh pada minit ke-90.

Usaha juara bertahan Piala AFF Suzuki itu untuk mendapat mata pertama dalam saingan peringkat kelayakan tidak menjadi kenyataan apabila Wu Lei menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan.

Vietnam membantah gol tersebut dan meminta pengesahan melalui video bantuan pengadil (VAR). Keputusan VAR menyaksikan jaringan tersebut adalah sah dan tidak berada dalam kedudukan offside sekaligus memastikan kemenangan berpihak kepada China.

Pada aksi seterusnya, Vietnam akan berdepan Oman manakala China akan turun berdepan Arab Saudi yang menewaskan Jepun pada perlawanan yang turut berlangsung semalam.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

Kelayakan Piala Dunia 2022: Giliran Arab Saudi Pula Kalahkan Jepun

Kelayakan Piala Dunia 2022: Jaringan Minit Akhir China Kecewakan Vietnam

Natxo Insa Tandatangani Kontrak Lanjutan Bersama Johor Darul Ta’zim