Presiden kelab bola sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin semalam mengumumkan peletakan jawatannya setelah pasukan tersebut disahkan tersingkir ke saingan divisyen 2, Liga Premier pada musim depan.

PKNP FC yang tewas 0-1 kepada Petaling Jaya City dalam aksi terakhir Liga Super, hanya mampu mengutip 16 mata hasil daripada 3 kemenangan dan 7 keputusan seri selepas mengharungi 22 perlawanan.

Zainol yang juga Penasihat Khas Menteri Besar bagaimanapun mengucapkan terima kasih atas kepercayaan dan kerjasama yang diterima sepanjang beliau menjadi presiden pasukan.

“Adalah dimaklumkan bahawa saya Datuk Zainol Fadzi Paharuddin melepaskan jawatan sebagai Presiden PKNP FC berkuat kuasa pada 22 Julai 2019.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih di atas kepercayaan dan kerjasama yang diberikan oleh PKNP FC sepanjang tempoh menjalankan amanah sebagai presiden.

“Harapan saya supaya semoga pasukan ini akan terus maju jaya dan cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan.

67230432_2364967573824289_2780296780703596544_n
FOTO: PKNP FC

Walaupun tidak menyatakannya secara terbuka sebab beliau letak jawatan, tindakannya itu dipercayai berkaitan dengan janjinya untuk berundur sekiranya PKNP FC tersingkir ke Liga Premier 2020.

Dalam ucapannya, Zainol Fadzi berkata akan meletak jawatan keesokan harinya andai mereka tersingkir.

Presiden PKNP FC itu berikrar sedemikian ketika melontarkan cabaran kepada pegawai dan pemain pasukan itu semasa majlis berbuka puasa pada 27 Mei lalu.