Beberapa bulan lalu, protes dilancarkan oleh penyokong Napoli sebaik sahaja mereka mendengar kelab mahu melantik Gennaro Gattuso menggantikan Carlo Ancelotti sebagai pengurus.

Menurut mereka Gattuso tidak cukup bagus untuk mengendalikan pasukan Napoli yang ketika itu di dalam krisis prestasi dan beberapa pemain utama mereka tidak mahu melanjutkan kontrak.

Peminat mengecam tindakan kelab melantik Gattuso yang dianggap pengurus yang gagal ketika di AC Milan.

Harus diakui, hubungan rapat Gattuso dengan Presiden Napoli – Aurelio De Laurentiis – adalah salah satu sebab kenapa beliau menjadi calon.

Carlo Ancelotti meninggalkan Napoli pada Disember dengan Vesuviani baru sahaja mengesahkan kelayakan mereka ke pusingan 16 akhir Liga Juara Juara Eropah. Menamatkan rekod tanpa menang 9 perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan.

Gatusso hadir ke Napoli dengan rekod membawa AC Milan menamatkan saingan di tangga kelima. Gattuso melepaskan jawatannya kerana gagal membawa kelabnya ke Liga Juara Juara Eropah.

Skrip beliau di Milan hampir sama dengan di Napoli. Beliau datang ketika kelab bergelora dan dalam krisis.

Pengalaman mendewasakan. Itu perkataan yang tepat buat Gattuso. Beliau ternyata menjadi pengurus yang lebih baik dan tenang dalam mengendalikan pasukan.

Beliau mulai lebih baik secara taktikal (tactical wise).

Gattuso mempersetankan kritikan dan cemuhan ke atasnya. Dan dia terus memperbaiki Napoli keluar dari lubuk yang sukar.

Gattuso berdepan dengan masalah terus dikecam selepas tewas 4 daripada 5 perlawanan pertama.

Beliau berusaha untuk menyatukan para pemain di bilik persalinan yang sudah berantakan.

Beberapa pemain utama mulai mahu angkat kaki kerana mereka mahu memenangi trofi di tempat lain.

Selepas 15 perlawanan Serie A beliau bersama Napoli, mereka naik ke tangga keenam.

Gattuso mulai mengtransformasi Napoli menjadi pasukan yang kembali bermain dengan dinamik dan pemain pemin berbakat mereka mulai menunjukkan kualiti mereka sekali lagi.

Gattuso mulai mengawal pasukannya. Beliau mulai dihormati para pemain yang percaya dengannya. Beberapa pemain yang merengek tak mahu latihan keras gaya Gattuso telah diberikan amaran dan mereka disisihkan.

Sehingga beliau mulai diberikan amaran oleh Presiden kelab, Aurelio De Laurentiis, yang menuduh Gattuso mulai menentang pemainnya sendiri. Malah Laurentiis menganggap tindakan itu akan membuatkan pasukan hancur.

Laurentiis memang dikenali dengan sikapnya yang mengutamakan perniagaan daripada bola sepak.

Cara Gattuso itu pastinya akan membuatkan pemain turun tanda harga mereka.

Namun tuduhan itu jelas sekali tak berasas. Di mana method beliau telah memberikan trofi pertama buat Napoli sejak enam tahun lalu.

Perkara yang tak mampu dilakukan Maurizio Sarri ataupun Carlo Ancelottti. Gattuso tanpa melakukan pembelian pemain yang besar telah berjaya melakukannya dengan pasukan yang memang berbakat itu dalam masa enam bulan.

Lebih ironi, Gattuso menewaskan Sarri yang membimbing Juventus dalam saingan Coppa Italia.

Gattuso jelas sekali jurulatih yang disenangi para pemain yang dahagakan kejayaan cabaran. Terbaru, Dries Mertens, yang sebelum ini sudah menyatakan beliau tidak akan kekal di Napoli, telah melanjutkan kontrak beliau.

Mertens sudah beberapa kali menolak tawaran kontrak daripada Napoli dan mengimpikan perpindahan ke Inter Milan mahupun Chelsea.

Mertens merupakan penjaring terbanyak dalam sejarah kelab mereka. Mengatasi Marek Hamsik dan Diego Maradona.

Mungkin kemaraan ke UCL musim hadapan adalah agak sukar untuk mereka. Kerana mereka ketika ini dipisahkan 15 mata dari Atalanta di tangga keempat.

Namun, musim hadapan adalah musim penuh pertama Gattuso. Peluang terbaik beliau melakukan kerja lebih besar untuk pasukannya.