Ketua jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee mahu anak buahnya bangkit dengan mempamerkan aksi lebih baik sekiranya mahu melangkah lebih jauh dalam saingan TM Piala Malaysia 2022.

Beliau berpendapat sedemikian selepas melihat anak buahnya kehilangan fokus pada lewat perlawanan sehingga membolehkan pasukan pelawat berjaya mendapatkan jaringan.

Aksi kedua pusingan 16 di Stadium Likas, Kota Kinabalu yang berlangsung malam tadi menyaksikan Sabah mencatatkan keputusan seri 1-1 tetapi ia sudah cukup untuk melangkah ke suku akhir berbekalkan agregat 4-2.

“Saya berpuas hati kita layak tetapi daripada prestasi pada dua perlawanan yang lepas sudah tentu tidak mencukupi bagi saya, kita harus bangkit untuk layak ke pusingan seterusnya,” ujar Kim Swee bercakap kepada wartawan selepas berakhir perlawanan malam tadi.

“Bukan mudah apabila kita bermain dalam keadaan padang seperti ini [hujan]. Dalam pada masa yang sama pasukan UiTM bermain dengan ramai pemain pertahanan.”

Kredit Foto: Sabah Football Club

“Pujian harus diberikan pemain-pemain UiTM yang memberikan banyak kesukaran buat pemain-pemain kita untuk menembusi terutamanya barisan pertahanan pasukan UiTM.”

“Perkara yang sama berlaku apabila kita dibolosi pada akhir perlawanan dan ini kita perlu perbaiki dan kita masih lagi terlampau selesa selepas mendahului. Ini tidak sepatutnya berlaku dan kita harus kekal fokus sehingga wisel penamat.”

”Ini satu perkara yang perlu kita seperti saya katakan perbaiki pada perlawanan akan datang,” tambah Datuk Ong Kim Swee lagi.

Menanti Sabah di suku akhir adalah Kuching City FC yang berjaya mengejutkan Penang FC 2-1 (agregat 4-3) pada aksi yang berlanjutan sehingga ke masa tambahan. Sekiranya berjaya melepasi cabaran tersebut, Johor Darul Ta’zim (JDT) atau Kelantan akan menanti di separuh akhir.