AC Milan dan Inter Milan setuju agar San Siro dirobohkan sepenuhnya bagi membolehkan pembinaan stadium baharu yang serba moden.

Salah satu stadium bola sepak paling ikonik di dunia, San Siro telah menjadi simbol penting untuk kedua dua pasikan.

Markas AC Milan dan Inter, San Siro dirobohkan sepenuhnya selepas Sukan Olimpik Musim Sejuk 2026 untuk memberi laluan kepada stadium baharu bernilai £1 bilion, menurut laporan dari media Itali La Gazzetta dello Sport.

Stadium baharu itu, yang diwar warkan akan dipanggil ‘The Cathedral’, akan dibina di tapak yang sama dengan Stadio Giuseppe Meazza, lebih dikenali sebagai San Siro.

Projek pembinaan stadium baharu itu awalnya dirancang dengan cuba mengekalkan unsur-unsur San Siro yang bersejarah.

Ini termasuk salah satu tangga berpusing yang membentuk bahagian luar ikonik stadium.

Tetapi rancangannya kini telah beruha secara keseluruhan. Di mana stadium baharu akan menggunakan rekaan dan struktur baru sepenuhnya.

San Siro dirobohkan

San Siro akan dirobohkan untuk memberi laluan kepada stadium baharu dengan 60,000 tempat duduk.

Di bawah cadangan itu, San Siro akan dirobohkan selepas ia menjadi tuan rumah majlis pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2026.

Tetapi di media sosial, berlaku perdebatan tentang perkara tersebut. Ini kerana San Siro sudah berdiri megah di Kota Milan sejak 1926.

Projek pembinaan stadium baru dirancang akan bermula pada 2024 dan dijangkan akan siap menjelang musim 2027/28.

Tahun lepas, AC Milan dan Inter mendedahkan rancangan mereka untuk stadium tercanggih baharu, yang direka untuk menjadi stadium “terhebat di Eropah”.

Inspirasi di sebalik rekaan terbaru stadium itu dikatakan ilham daripada dua bangunan paling terkenal di Milan, Duomo di Milano dan Galleria Vittorio Emanuele.

Menurut Corriere della Sera, Inter dan AC Milan menganggarkan peningkatan pendapatan sebanyak €120m (£105m) di stadium baharu, walaupun kapasiti berkurangan daripada San Siro yang mempunyai 80,000 tempat duduk.

Mengumumkan rancangan itu tahun lepas, ketua eksekutif AC Milan, Ivan Gazidis mengakui keputusan untuk merobohkan San Siro adalah sesuatu yang sukar.

“Saya faham keraguan itu, kerana San Siro adalah tempat yang istimewa, tetapi perlu ada keberanian untuk melakukannya,” kata Gazidis menerusi laman web kelab.

“Perasaan sentimental wujud dan tidak boleh dipersoalkan. Kenangan di San Siro akan kekal di sana selama-lamanya, tiada siapa yang dapat memadamkannya, mustahil.”

“Setiap liga di dunia yang telah berjaya telah dilakukan dengan membina stadium baharu, dengan pengalaman yang luar biasa dan inklusif untuk peminat.”

“Kami mempunyai segala-galanya yang diperlukan: bola sepak, orang ramai, peminat. Saya melihat masa depan yang cemerlang, anda hanya perlu mempunyai keberanian.

“Mewujudkan stadium baharu adalah langkah asas jika kami mahu berada di puncak dunia bola sepak semula.”