Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) hari ini mengumumkan jurulatih dari Jerman, Alexandre ‘Mano’ Polking sebagai pengendali baharu skuad kebangsaan Thailand bagi menghadapi saingan Piala Suzuki AFF 2020 pada penghujung tahun ini.

Mano Polking menjadi pilihan pengurus pasukan, Madam Pang berdasarkan pengalamannya menjadi pembantu jurulatih skuad kebangsaan Thailand pada tahun 2012 hingga 2013.

Beliau juga sangat memahami budaya bola sepak negara itu dan pernah membimbing beberapa kelab Thai League seperti Army United (2013), Suphanburi FC (2014) dan True Bangkok United (2014-2020) sebelum berhijrah ke Vietnam menjadi jurulatih Ho Chi Minh City pada musim 2020/2021.

“Piala Suzuki AFF 2020 menjadi antara kejohanan penting yang perlu dihadapi. Hanya tinggal 2 bulan sahaja lagi, semua pasukan di ASEAN akan melakukan persiapan terbaik untuk menjadi juara walaupun berdepan kesukaran dari segi penularan wabak COVID-19.

“Jadual perlawanan Liga Thailand cukup padat dan persiapan skuad kebangsaan akan menjadi singkat. Oleh itu, kami hanya memilih jurulatih yang benar-benar faham dengan budaya bola sepak Thailand dan yakin dengan potensi Mano berbekalkan pengalamannya untuk membantu mencapai misi pasukan kebangsaan,” kata Madam Pang dalam kenyataan rasmi.

Madam Pang juga menjelaskan bukannya mudah untuk mencari Ketua Jurulatih baharu bagi menggantikan tempat Akira Nishino yang dipecat pada bulan Julai lalu kerana beberapa kriteria perlu dipenuhi terutamanya pengetahuan mereka dalam bola sepak Thailand.

“Kami memahami penyokong mahu jurulatih yang terbaik tetapi realitinya bukan mudah. Kerana kami perlu melihat rekod dan pengalaman jurulatih itu yang mana Mano Polking telah memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan oleh FAT. Ini adalah perancangan jangka pendek untuk menilai prestasi jurulatih itu sebelum menawarkan kontrak lanjutan,” jelasnya.

Piala Suzuki AFF akan berlangsung pada 5 Disember hingga 1 Januari 2022 dan diadakan secara venue berpusat. Tuan rumah kejohanan itu akan diumumkan secara rasmi pada penghujung bulan ini. Thailand dan Singapura adalah dua negara yang telah memenuhi kriteria AFF untuk menjadi tuan rumah.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah. 

Piala Suzuki AFF: Diundi Dalam Kumpulan ‘Neraka’, PSSI Yakin Indonesia Ke Separuh Akhir

Park Hang-seo Anggap Undian Piala AFF Biasa Saja, Tiada Yang Istimewa

Singapura Mungkin Dipilih Sebagai Tuan Rumah Piala Suzuki AFF 2020

Fandi Ahmad Sifatkan Malaysia Bertuah Miliki Luqman Hakim Dan Arif Aiman