Juventus dikenakan hukuman pemotongan 15 mata oleh FIGC kerana didapati bersalah salah dalam perpindahan pemain.

Juventus yang pada asalnya berada di tangga ketiga dalam Serie A dan hanya 10 mata di belakang pendahulu Napoli.

Dan kini Juventus turun tangga sehingga ke tangga kesepuluh dalam carta dengan 22 mata di belakang Napoli.

Kedudukan itu di luar mana mana slot pertandingan Eropah.

Juventus dilaporkan memalsukan nilai perpindahan dan juga laporan kewangan melibatkan gaji pemain dari tahun 2020 sehingga 2021. Di mana ketika itu kelab dilaporkan mendapat kesepakatan dengan beberapa pemain untuk mengurangkan gaji sepanjang tempoh pandemik.

Mahkamah menjatuhkan hukuman pemotongan 15 mata ke atas Juventus. Lebih berat daripada pemotongan 9 mata yang dicadangkan oleh pihak pendakwaraya.

11 individu dari kalangan ahli lembaga pengarah – sama ada yang sebelum ini dan yang ketika ini – termasuk bekas presiden kelab, Andrea Agnelli dikenakan penggantungan daripada aktiviti bola sepak.

Agnelli dikenakan larangan 24 bulan. Sementara itu bekas pengarah sukan kelab, Fabio Paratici – yang kini menjadi pengarah sukan di Tottenham Hotspur – telah dikenakan penggantungan 30 bulan.

Beberapa bulan lalu keseluruhan ahli lembaga pengarah termasuk Agnelli melepaskan jawatan mereka kerana disiasat atas kes salah tadbir kewangan.

Juventus mengakui kecewa dan terkejut dengan keputusan FIGC.

Mereka menganggap keputusan ini satu penindasan dan ketidakadilan untuk kelab dan jutaan penyokong Juventus di seluruh dunia.

Kelab mengumumkan akan mencabar keputusan mahkamah dan yakin keputusan itu akan dibatalkan di mahkamah rayuan.

Bagaimana Juventus melakukan salah laku FFP?

Segalanya bermula apabila beban gaji pemain pada fasa pandemik dengan penangguhan serta pengurangan gaji. Ianya masih tidak cukup untuk mengelak akaun kelab daripada sakit.

Juventus gagal menjual pemain dengan nilai tinggi. Mereka hanya mampu menjual dan meminjamkan pemain untuk mengurangkan bil gaji.

Selepas pandemik, Juventus berdepan masalah baharu kerana mereka perlu menyelesaikan gaji pemain seperti biasa.

Walaupun Ronaldo sudah meninggalkan mereka musim lalu, namun kelab itu masih berhutang gaji dengan pemain itu. Di mana Ronaldo mendesak ejennya untuk menuntut tunggakan gaji – yang berlaku hasil persetujuan penangguhan bayaran semasa pandemik.

Juventus kemudian didapati menipu angka pengurangan gaji pemain mereka. Menurut kenyataan mereka, Juventus berjaya menjimatkan €90 juta daripada usaha mengurangkan gaji atas persetujuan dengan pemain.

Namun pihak pendakwaraya mendapati sebenarnya Juventus hanya mampu menjimatkan €22 juta sahaja daripada langkah itu. Laporan itu dianggap sebagai cuba memalsukan angka.

Jika mereka menang UCL sekalipun bersama Ronaldo, Juventus masih gagal untuk menanggung beban kewangan yang mereka hadapi.

Perkara itu membuatkan Agnelii menjadi orang yang berdiri teguh sehingga ke hari ini dalam usaha menubuhkan Liga Super Eropah.

Malangnya projek itu tak dapat dilaksanakan.

Kini pendengaran sebutan kes melibatkan Juventus akan dibuat untuk menentukan sama ada mereka akan didakwa dan disabitkan dengan kesalahan.

Semua perkara ini menambahkan lagi masalah yang melanda Juventus. Walaupun mereka berjaya memperbaiki prestasi di Liga Itali dengan naik sehingga ke 3 teratas, namun kesan daripada kegagalan mara ke kalah mati UCL sangat dirasai.

Peminat pernah mendesak kelab memecat Max Allegri. Namun kelab buat masa ini tidak dapat mengambil langkah itu. Kerana ianya akan melibatkan pampasan yang tinggi.