Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah membuat keputusan untuk mengenakan hukuman penggantungan secara serta-merta kepada Zulkarnain Zakaria daripada mengadili sebarang perlawanan Liga Malaysia 2023.

Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM yang diketuai oleh Dato’ S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM telah bersidang semalam bagi meneliti laporan daripada Penilai Pengadil perlawanan tersebut serta klip-klip rakaman video setiap insiden dalam aksi antara Sabah menentang Penang.

Jawatankuasa tersebut telah sebulat suara mendapati bahawa pengadil perlawanan tersebut, Zulkarnain Zakaria telah terkhilaf dalam mengintepretasi dua situasi pemberian sepakan penalti olehnya kepada pasukan Sabah pada minit 41 dan minit 90+9.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengadil FAM telah membuat keputusan untuk mengenakan hukuman penggantungan secara serta-merta kepada Zulkarnain Zakaria daripada mengadili sebarang perlawanan Liga Malaysia 2023.

“Jawatankuasa Pengadil FAM memandangkan serius perkara ini dan akan memberikan peringatan dan teguran keras kepada semua pengadil agar sentiasa optimum dalam menjalankan tugas dengan pemahaman bola sepak secara lebih holistik.

“Jawatankuasa juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras dan yang sewajarnya kepada mana-mana pengadil yang menampilkan mutu pengadilan yang tidak memenuhi piawaian yang telah ditetapkan pada perlawanan-perlawanan Liga Malaysia 2023 yang akan datang,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan FAM.

Selepas perlawanan, Akmal Rizal menerusi laman media sosial miliknya meluahkan rasa tidak puas hati mengenai prestasi yang ditampilkan oleh Zulkarnain dimana beliau melabel pengadil itu sebagai perosak bola sepak Malaysia.

“Sampai bila perosak bola sepak Malaysia akan dibiarkan terus merosakkan bola sepak Malaysia,” kata Akmal.