Tekanan bertubi-tubi yang diberikan oleh ramai pihak akhirnya memaksa Bibi Ramjani Ilias Khan meletak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkuatkuasa serta-merta.

Bibi mengumumkan peletakan jawatannya selaku Presiden KAFA menerusi laman media sosial Facebook milik beliau sebentar tadi.

Bibi, yang dilantik sebagai presiden KAFA pada akhir 2017 lalu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang tidak berputus asa menyokong pasukan Kelantan yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia. Bibi turut meminta maaf sekiranya terdapat sebarang kesalahan ketika beliau menerajui persatuan itu.

Gesaan untuk Bibi melepaskan jawatan beliau mula timbul apabila KAFA terus dihimpit masalah krisis kewangan yang kritikal sekaligus menyebabkan pemain Kelantan tidak dibayar gaji. KAFA sudah beberapa kali diberi amaran oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melunaskan tunggakan gaji pemain malah mereka juga dihukum oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kerana isu yang sama.

Kini, masih menjadi teka-teki mengenai siapa yang bakal menggantikan Bibi sebagai presiden KAFA.