Ole Gunnar Solskjaer kini diberikan talian hayat untuk membuktikan kemampuannya dalam 3 perlawanan penting selepas ini.

Kekalahan memalukan di tangan Liverpool telah membuatkan sokongan lembaga pengarah kepada Ole berbelah bagi. Sebelum ini Ole sentiasa yakin bahawa beliau adan nombor sokongan yang cukup untuk terus kekal walaupun ada beberapa keputusan kurang memberangsangkan.

Namun kini, tekanan pada pengurus Man United itu memuncak.

Terkenal dengan rekod lampaunya, di mana beliau akan memberikan prestasi luar biasa setiap kali jawatannya terancam, magis itu diperlukan Ole sekali lagi untuk menyelamatkan kedudukannya dalam pasukan Man United.

Fabrizio Ramano menyatakan bahawa, beliau difahamkan, selepas mesyuarat tergempar, Ole akan terus diberikan kepercayaan mengendalikan pasukan. Dan beliau akan menjadi pengurus yang akan mengendalikan aksi menentang Spurs.

Sir Alex Ferguson menjadi individu paling penting dalam mengekalkan Ole kali ini daripada kehilangan jawatannya. Di mana pengurus legenda itu semalam berada di pusat latihan Carrington untuk memberikan sokongan kepada anak buahnya itu.

Ole turut mengendalikan latihan penuh di Carrington.

Selain Sir Alex, beberapa ahli daripada lembaga pengarah juga kekal dengan pendirian menyokong Ole. Mereka merasakan, memecat pengurus bukan penyelesaian segera kepada masalah mereka.

Dan ianya akan melibatkan kos yang tinggi. Di mana kontrak pengurus harus dibayar dan harus menyediakan dana perpindahan yang baru untuk pengurus baharu.

Namun itu bukan jaminan bahawa Ole tidak berada dalam tekanan tinggi. Sebaliknya, beliau kini diberikan peluang untuk memberikan aksi terbaik dalam 3 perlawanan sebelum minggu antarabangsa.

3 perlawanan itu adalah; menentang Spurs, kemudian aksi timbal balik menentang Atalanta dalam UCL diikuti oleh derbi Manchester menentang jiran, Manchester City.

Ketiga tiga perlawanan itu dianggap sukar. Atalanta sebelum ini menurunkan skuad yang pincang ke Old Trafford. Itupun masih mampu memberikan United segala masalah.

Aksi berdepan City dianggap paling penting. Walaupun Ole gagal mencatatkan kemenangan dalam dua perlawanan lain tersebut, menang dengan bergaya dalam aksi derbi sentiasa mampu membantu menaikkan semula undi popular di kalangan peminat dan pemilik kelab.

Antonio Conte sudah bersedia bila bila masa untuk menggantikan Ole. Namun sumber yang sama mendedahkan bahawa, Conte akan bersikap profesional dan tidak akan meminta jawatan itu secara terus. Kecuali kelab yang menghubunginya.

Ini kerana Conte masih menghormati Ole. Buat masa ini tiada tawaran rasmi atau rundingan rasmi dibuat oleh United kepada Conte.