Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie mendedahkan beliau berhajat untuk bertemu Pengerusi Malaysian Football League (MFL), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi menjelaskan status sebenar pasukan Perlis.

Jelas Amizal, beliau yang masih terkejut dengan keputusan MFL membatalkan penyertaan Perlis daripada Liga Malaysia semalam, berharap pertemuan dengan Tunku Mahkota Johor itu dapat memberikan sinar buat skuad Singa Utara bagi membuat kemunculan kembali di Liga Premier musim ini.

Katanya lagi, PFA telah menyerahkan permohonan rasmi kepada MFL semalam tetapi Amizal berpendapat pertemuan dengan Tunku Ismail adalah jalan lebih baik bagi memberikan gambaran sebenar yang berlaku serta perancangan sebenar Perlis kepada baginda.

“Sejujurnya saya agak kecewa dengan keputusan itu (penyertaan Perlis dibatalkan dari Liga Malaysia) kerana kita sebenarnya telah menyerahkan dokumen perancangan pasukan Perlis untuk Liga Premier musim ini kepada MFL.

“Perlis telah memberikan komitmen tinggi biarpun ketika kami berdepan dengan pelbagai kemelut yang berlaku. Kami tidak buat apa seperti Kuantan FA (tidak hadir pada perlawanan rasmi) yang turut dibatalkan penyertaannya dari Liga Malaysia tahun lalu.

“Saya telah menghantar rayuan kepada MFL tetapi dalam masa yang sama, saya mahu bertemu dengan Tunku Ismail untuk menjelaskan perkara sebenar yang berlaku yang mana saya kekal optimis Perlis masih memiliki keupayaan untuk meneruskan perjuangan dalam Liga Malaysia musim ini,” katanya.

Terdahulu, MFL menerusi Ahli Lembaga Pengarah MFL sebulat suara telah bersetuju untuk membatalkan penyertaan Perlis dalam Liga Malaysia 2019 berkuatkuasa semalam.

Keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk membatalkan penyertaan Perlis dibuat selepas meneliti secara terperinci dokumen kewangan yang diserahkan oleh PFA pada tarikh akhir Isnin lalu (18 Februari 2019).

Berdasarkan dokumen kewangan berkenaan, Ahli Lembaga Pengarah MFL mendapati sumber pendapatan PFA termasuk daripada penajaan perancangan kewangan mereka tidak mencukupi untuk menguruskan pasukan bersaing dalam Liga Malaysia musim ini.

Perlis mendapat slot untuk menggantikan tempat MIFA dalam Liga Premier selepas kelab yang kini dikenali sebagai Petaling Jaya City FC itu dinaikkan taraf ke unifi Liga Super susulan penarikan diri Felcra FC.

Pemilihan Perlis itu dibuat selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuka permohonan kepada pasukan berminat dan akhirnya mencadangkan tiga pasukan iaitu Kuching FA, ATM dan Perlis dari Piala FAM untuk mengisi slot Liga Premier berdasarkan dokumen perancangan pasukan berkenaan termasuk aspek kewangan.

Daripada tiga pasukan ini, Ahli Lembaga Pengarah MFL kemudian membuat pemilihan berdasarkan kriteria tertentu antaranya kekuatan penyokong, masalah hutang dan perancangan kewangan menjadi faktor pemilihan Perlis untuk bermain dalam Liga Premier musim ini.

PFA dan MFL telah membuat perjanjian bersama yang mana mereka diberikan tempoh 60 hari menyelesaikan masalah tunggakan gaji sementara MFL menyekat geran tahunan mereka pada 28 Disember lalu.