Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam mesyuarat kali keempat bagi penggal 2021-2025 yang diadakan secara dalam talian pada Jumaat, 17 September 2021 telah mencapai keputusan berikut:

1. Pemain Sarawak United FC – Mohd Sharbinee Allawee Ramli

Kesalahan: Melanggar Artikel 50.1(d) Kod Tatatertib FAM iaitu berkelakuan tidak bersemangat sukan apabila telah sengaja menerjah dengan kuat di bahagian dada pemain pasukan lawan, Mohamad Zamri Pin Ramli (Pertuduhan 1) serta melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu berkelakuan tidak bersemangat sukan apabila menolak dengan agresif di bahagian dada Pengadil Perlawanan setelah dilayangkan kad merah (Pertuduhan 2) dan berkelakuan tidak bersemangat sukan apabila menumbuk papan penggantian yang sedang diangkat oleh Pegawai Keempat untuk membuat penggantian pemain semasa beliau keluar padang setelah diperintah keluar oleh Pengadil Perlawanan (Pertuduhan 3), kesemuanya pada perlawanan Liga Premier 2021, Sarawak United FC lwn Negeri Sembilan FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 10 September 2021.

Hukuman: Pemain ini dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan termasuk satu penggantungan perlawanan secara automatik dan denda sebanyak RM3,000 bagi Pertuduhan 1, penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM2,000 bagi Pertuduhan 2 dan penggantungan satu perlawanan dan denda sebanyak RM2,000 bagi Pertuduhan 3.

Penggantungan lima perlawanan termasuk satu penggantungan perlawanan secara automatik yang dikenakan ke atas pemain ini adalah seperti berikut, tertakluk kepada sebarang pindaan jadual perlawanan oleh pihak penganjur:

i) Perlawanan Liga Premier 2021, Johor Darul Ta’zim II lwn Sarawak United FC pada 21 September 2021.

ii) Baki penggantungan empat lagi perlawanan adalah berkuatkuasa serta-merta pada empat perlawanan rasmi Liga Malaysia (Liga Super/Liga Premier/Piala Sumbangsih/Piala FA/Piala Malaysia/Challenge Cup) yang berikutnya sama ada musim yang sama atau musim hadapan (tidak termasuk perlawanan persahabatan dan pertandingan bukan kelolaan FAM/MFL/AFL) tanpa mengira mana-mana pasukan pemain ini didaftarkan.

Pemain ini juga adalah diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu.

2. Pemain Sarawak United FC – Mohammad Amer Saidin

Kesalahan: Melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu berkelakuan tidak bersemangat sukan apabila setelah tamat perlawanan telah meluru ke arah Pengadil Perlawanan, Penolong Pengadil 1 dan Penolong Pengadil 2 secara agresif dan menolak di bahagian dada Pengadil Perlawanan pada perlawanan Liga Premier 2021, Sarawak United FC lwn Negeri Sembilan FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 10 September 2021.

Hukuman: Pemain ini dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM2,000.

Penggantungan dua perlawanan yang dikenakan ke atas pemain ini adalah seperti berikut, tertakluk kepada sebarang pindaan jadual perlawanan oleh pihak penganjur:

i) Perlawanan Liga Premier 2021, Johor Darul Ta’zim II lwn Sarawak United FC pada 21 September 2021.

ii) Baki penggantungan satu lagi perlawanan adalah berkuatkuasa serta-merta pada perlawanan rasmi Liga Malaysia (Liga Super/Liga Premier/Piala Sumbangsih/Piala FA/Piala Malaysia/Challenge Cup) yang berikutnya sama ada musim yang sama atau musim hadapan (tidak termasuk perlawanan persahabatan dan pertandingan bukan kelolaan FAM/MFL/AFL) tanpa mengira mana-mana pasukan pemain ini didaftarkan.

Pemain ini juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini tidak boleh dirayu.

3. Pemain Sarawak United FC – Mohd Badrul Affendy Mohd Fadzli

Kesalahan: Melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu berkelakuan tidak bersemangat sukan terhadap Penolong Pengadil 1 apabila setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Pengadil Perlawanan meluru ke arah Penolong Pengadil 1 secara agresif dan menolak dengan kuat di bahagian dada Penolong Pengadil 1 (Pertuduhan 1) dan berkelakuan tidak bersemangat sukan apabila setelah tamat perlawanan telah meluru ke arah Pengadil Perlawanan, Penolong Pengadil 1 dan Penolong Pengadil 2 secara agresif dan menolak di bahagian dada Pengadil Perlawanan (Pertuduhan 2), kedua-duanya pada perlawanan Liga Premier 2021, Sarawak United FC lwn Negeri Sembilan FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 10 September 2021.

Hukuman: Pemain ini dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM2,000 bagi Pertuduhan 1 dan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM2,000 bagi Pertuduhan 2.

Penggantungan empat perlawanan yang dikenakan ke atas pemain ini adalah seperti berikut, tertakluk kepada sebarang pindaan jadual perlawanan oleh pihak penganjur:

i) Perlawanan Liga Premier 2021, Johor Darul Ta’zim II lwn Sarawak United FC pada 21 September 2021.

ii) Baki penggantungan tiga lagi perlawanan adalah berkuatkuasa serta-merta pada tiga perlawanan rasmi Liga Malaysia (Liga Super/Liga Premier/Piala Sumbangsih/Piala FA/Piala Malaysia/Challenge Cup) yang berikutnya sama ada musim yang sama atau musim hadapan (tidak termasuk perlawanan persahabatan dan pertandingan bukan kelolaan FAM/MFL/AFL) tanpa mengira mana-mana pasukan pemain ini didaftarkan.

Pemain ini juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan penggantungan ini boleh dirayu.

4. Pegawai Sarawak United FC – Abang Fomay Abang Sa’adeli

Kesalahan: Melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu berkelakuan tidak bersemangat sukan apabila selepas tamat perlawanan telah meluru ke arah Pengadil Perlawanan, Penolong Pengadil 1 dan Penolong Pengadil 2 yang masih berada di padang permainan dengan perbuatan agresif (cuba menyerang dan mencederakan Pengadil Perlawanan) yang menyebabkan kumpulan Pengadil terpaksa diiringi oleh pegawai keselamatan ke bilik persalinan pada perlawanan Liga Premier 2021, Sarawak United FC lwn Negeri Sembilan FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 10 September 2021.

Hukuman: Pegawai ini dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM10,000.

Penggantungan dua perlawanan yang dikenakan ke atas pegawai ini adalah seperti berikut, tertakluk kepada sebarang pindaan jadual perlawanan oleh pihak penganjur:

i) Perlawanan Liga Premier 2021, Johor Darul Ta’zim II lwn Sarawak United FC pada 21 September 2021.

ii) Baki penggantungan satu lagi perlawanan adalah berkuatkuasa serta-merta pada perlawanan rasmi Liga Malaysia (Liga Super/Liga Premier/Piala Sumbangsih/Piala FA/Piala Malaysia/Challenge Cup) yang berikutnya sama ada musim yang sama atau musim hadapan (tidak termasuk perlawanan persahabatan dan pertandingan bukan kelolaan FAM/MFL/AFL) tanpa mengira mana-mana pasukan pegawai ini didaftarkan.

Pegawai ini juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan denda ini boleh dirayu.

5. Pegawai Sarawak United FC – Rudy Bujang

Kesalahan: Melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu berkelakuan tidak bersemangat sukan pada perlawanan Liga Premier 2021, Sarawak United FC lwn Negeri Sembilan FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 10 September 2021.

Hukuman: Pegawai ini dikenakan hukuman penggantungan selama enam bulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya yang berkuatkuasa mulai 17 September 2021 sehingga 16 Mac 2022 dan didenda sebanyak RM10,000.

Pegawai ini juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu.

6. Pegawai Sarawak United FC – E. Elavarasan

Kesalahan: Melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama dengan Artikel 7 Statut FAM (Tatalaku Badan dan Pegawai) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan kepada Media) atas tindakannya yang membuat kenyataan/komen semasa temu ramah selepas perlawanan (post match interview) berhubung isu yang melibatkan FAM tanpa kebenaran di mana kenyataan/komen semasa temu ramah yang dibuat olehnya secara terus atau secara innuendo boleh memberikan impak yang negatif ke atas nama baik dan reputasi FAM selain daripada mengecam mengenai urusan pentadbiran hal-ehwal FAM (kepengadilan) atau pengelolaan Liga Malaysia pada perlawanan Liga Premier 2021, Sarawak United FC lwn Negeri Sembilan FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 10 September 2021.

Hukuman: Pegawai ini dikenakan hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya yang berkuatkuasa mulai 17 September 2021 sehingga 16 September 2022 dan didenda sebanyak RM10,000.

Walau bagaimanapun, Jawatankuasa telah memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM di mana hukuman penggantungan tersebut adalah ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada kelakuan baik pegawai ini selama 12 bulan.

Jika kesalahan yang sama berulang dalam tempoh 12 bulan selepas penangguhan penggantungan, maka hukuman penggantungan 12 bulan tersebut akan dikuat kuasakan serta-merta terhadap beliau.

Pegawai ini juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu.